KANGAR – Semua masjid di Perlis diarahkan untuk membaca Qunut Nazilah pada rakaat terakhir solat lima waktu bermula subuh esok hingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, arahan itu mendapat limpah perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail setelah meneliti perkembangan semasa tindakan serangan dan sekatan bantuan kemanusiaan oleh Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.
“Dengan ini diperintahkan kepada semua masjid di negeri Perlis untuk membacakan Qunut Nazilah pada rakaat terakhir solat lima waktu bermula daripada waktu subuh, 9 April 2025 (Rabu) bersamaan 10 Syawal 1446H hingga ke satu tempoh yang dimaklumkan kelak,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Pada 3 April lepas, Bernama memetik laporan Anadolu Anjansi sekurang-kurangnya 44 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza termasuk ke atas sebuah blok pangsapuri di kejiranan Shejaiya yang menyebabkan 15 orang terkorban.
Israel memperbaharui serangan besar-besaran ke atas Gaza sejak 18 Mac lepas sekali gus menamatkan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang dicapai pada Januari lepas. – Bernama