Mat Zaini menunjukkan dadah yang dirampas dalam dua serbuan membabitkan nilai rampasan RM14.39 juta, dalam sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri, Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI- Polis melumpuhkan sindiket dadah antarabangsa selepas menahan seorang lelaki yang baru bebas dari penjara Singapura bersama kekasihnya dan merampas dadah RM14.39 juta dalam serbuan sekitar daerah ini bulan lalu.

Sindiket berkenaan yang menjalankan kegiatan memproses dan mengedar dadah terutama untuk pasaran tempatan selain Singapura dan Indonesia terbongkar dalam dua serbuan pada 27 Mac lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Deputi Komisioner Mat Zani@Mohd Salahuddin Che Ali berkata, sindiket berkenaan turut mempunyai makmal mini untuk memproses dadah.

“Serbuan pertama dilakukan JSJN Bukit Aman pada pukul 5.35 petang dalam sebuah kereta di kawasan parkir sebuah pangsapuri dan satu pasangan kekasih warga tempatan masing-masing berusia 28 tahun ditahan.

“Pemeriksaan di bahagian kerusi belakang penumpang belakang kereta tersebut menemukan sebuah beg mengandungi dua slab dibalut plastik lutsinar berisi dadah disyaki syabu dua kilogram.

“Turut ditemui enam bungkusan plastik berisi dadah disyaki heroin (3.3 kilogram) dan empat slab dibaluti plastik lutsinar berisi dadah disyaki heroin (1.5 kilogram),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar PuteriĀ  hari ini.

Mat Zani berkata, pihak JSJN Bukit Aman melakukan serbuan kedua pukul 6.15 petang di sebuah pangsapuri dan dalam bilik utama menemukan 56 bungkusan plastik berisi pil ekstasi (83.0 kilogram) dan 69 bungkusan plastik berisi heroin (31.2 kilogram).

Beliau memberitahu, nilai keseluruhan rampasan dadah berkenaan berjumlah RM14,395,111 yang boleh merosakkan 658 penagih.

Jelasnya, pangsapuri berkenaan disewa dengan kadar RM2,500 di kawasan yang berpagar dan berpengawal serta sindiket tersebut sudah aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak Oktober tahun lalu.

Menurut beliau, suspek lelaki berkenaan merupakan penghantar dan pengedar dadah untuk sindiket tersebut dan pihaknya sudah mengenal pasti suspek yang masih bebas.

Kedua-dua suspek, katanya, mendapat bekalan dadah dari luar negara dan dibawa masuk kawasan pantai timur sebelum menghantar bekalan dadah dengan cara penghantaran kurier bagi mengelak dikesan.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine. Semakan rekod lampau mendapati suspek berkenaan mempunyai satu rekod jenayah di Malaysia pada 2014 kerana melakukan pemerasan dan ugutan jenayah.

“Suspek ini juga pernah ditangkap di Singapura pada 2015 dan dibebaskan pada 28 Februari lalu atas kesalahan kes dadah dengan dikenakan hukuman penjara lapan tahun dan lapan bulan serta sebatan 11 rotan,” katanya.

Mat Zaini berkata, kedua-dua suspek sudah dituduh pada Jumaat lalu bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here