KUALA LUMPUR – Pembangunan sesebuah tamadun bangsa dan negara akan tempang tanpa usaha membangunkan nilai seni dan budaya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, pemerkasaan ekonomi negara juga tidak memadai tanpa pemerkasan seni dan budaya yang turut menjadi nilai kepada keutuhan sesebuah negara dan masyarakat.
Disebabkan itu juga, kata beliau, di bawah Kerajaan Madani, ketika kemampanan ekonomi menjadi tonggak dan keutamaan, aspek seperti daya cipta, ihsan dan amanah yang melengkapkan nilai peribadi kemanusiaan tidak pernah ditinggalkan.
“Dalam usaha dan keghairahan kita melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara, kita tidak boleh meminggirkan seni, budaya dan sastera.
“Sama ada kita bicara soal tenaga atau transisi digital, kalau itu menyebabkan melebarnya dan membengkaknya kesenjangan antara golongan yang mempunyai keupayaan menguasai lapangan baharu atau kekayaan dan meminggirkan majoriti rakyat, ia tidak akan memberi makna kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Buku Ismail Zain Intermediations: Selected Writings On Art And Aesthetics di Balai Seni Negara hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing.
Sementara itu, Anwar turut meminta MOTAC serta para seniman dan sasterawan negara untuk memikirkan langkah-langkah baharu bagi memastikan hasil seni dan karya besar sampai kepada rakyat kebanyakan.
Jelas beliau, ia juga seharusnya menjadi cabaran utama kepada insititusi seperti Balai Seni Negara; Arkib Negara dan Perpustakaan Negara dalam memastikan karya-karya seni dan sastera besar itu boleh memberi pendedahan, pencerahan dan kefahaman kepada rakyat.

“Mudah-mudahan usaha kita untuk lebih memperkenalkan tokoh-tokoh besar dalam dunia seni ini seperti hari ini, Ismail Zain, kita dapat ambil beberapa langkah tambahan termasuk di Balai Seni Negara dan tempat lain seperti Perpustakaan Negara dan Arkib Negara.
“Selepas ini, Menteri Ting (King Sing) juga mesti kutip satu bait dari puisi Pak Samad Said (Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said) dalam ucapan beliau,” katanya.
Ismail Zain Intermediations: Selected Writings On Art And Aesthetics yang merupakan hasil kerjasama antara Balai Seni Negara dan Fergana menghimpukan sebanyak 33 teks tulisan Ismail Zain yang dihasilkan sepanjang 17 tahun sasterawan berkenaan iaitu bermula pada 1972 hingga 1989. – MalaysiaGazette