PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, tiada keterangan langsung diperoleh pasukan siasatan yang menunjukkan Datuk Seri Najib Razak mengarahkan wang dipindah keluar dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk kegunaan peribadinya.
Bekas pegawai penyiasat kanan kes 1MDB, Senior Asisten Komisioner (SAC) R. Rajagopal berkata, sehingga beliau bersara, tiada keterangan sedemikian diperolehi sepanjang siasatannya.

“Dalam mana-mana peringkat siasatan, tiada keterangan langsung bahawa Datuk Seri Najib mengarahkan pemindahan keluar wang 1MDB,” ujar beliau pada pemeriksaan semula yang dikendalikan oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Rajagopal yang juga saksi pembelaan ke-11 (DW11)
berkata, siasatan ketika itu hanya menjurus kepada operasi 1MDB berdasarkan kepada memorandum syarikat.
Saksi yang pernah berjawatan Ketua Unit Siasatan Jenayah Korporat (CCID) Bukit Aman berkata, tiada keterangan langsung bahawa Najib selaku pemegang saham tunggal bertindak mengarahkan lembaga pengarah 1MDB bertindak dengan cara yang tidak sepatutnya.
Ujar Rajagopal, siasatan juga melibatkan sama ada keputusan yang diambil oleh lembaga pengarah dibuat dengan niat baik.
Katanya, siasatan turut menjurus kepada sama ada lembaga pengarah bertindak mengikut kepentingan 1MDB atau sama ada tadbir urus dilakukan dengan baik.
Dalam pemeriksaan semula, Rajagopal turut ditanya sama ada laporan polis yang dibuat oleh Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkaitan penyelewengan dana 1MDB, ada menyebut nama Najib.
Saksi berkata, laporan itu yang dibuat pada 12 Disember 2014, tidak menyebut nama mana-mana individu termasuk Najib, sebaliknya hanya menyatakan kesangsiannya berhubung tadbir urus syarikat berkenaan.
“Setakat yang saya ingat, laporan polis itu tidak mensasarkan mana-mana individu, sebaliknya menyertakan di antara 11 dan 13 isu yang beliau mahu pihak berkuasa menyiasatnya,” ujarnya.
Dalam keterangannya, Rajagopal berkata, Najib mempunyai kuasa untuk menolak sebarang keputusan kewangan yang dibuat oleh lembaga pengarah 1MDB.
Ujar saksi, sebarang keputusan yang mempunyai implikasi besar terhadap ekonomi negara perlu dirujuk kepada Najib atas kapasitinya ketika itu.
Mahkamah sedang mendengar kes Najib, 71, atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Istana Kehakiman bersambung esok. – MalaysiaGazette