JOHOR BAHRU – Proses pembersihan tumpahan minyak di perairan Tanjung Langsat Port Terminal (TLPT), Pasir Gudang, di sini, berada pada fasa akhir.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, kerja-kerja tersebut dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh dua hari.
“Siasatan insiden itu juga hampir selesai dan kita sedang menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan dapat diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.
“Kerja pembersihan hampir siap sepenuhnya. Kerosakan yang dikenal pasti telah dibaiki dan langkah-langkah pencegahan awal telah dilaksanakan, termasuk pemasangan penghalang bagi mengelakkan tumpahan merebak ke kawasan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan duit raya kerajaan negeri kepada petugas kesihatan di Auditorium Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini, hari ini.
Pada Jumaat lalu, Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar dilaporkan berkata, sebanyak 1.6 meter padu tumpahan minyak dikesan di TLPT Pasir Gudang.
Katanya, tumpahan minyak itu disebabkan kebocoran paip yang menyalurkan minyak Very Low Sulfur Fuel Oil (VLSFO) dari tangki terminal ke kapal MT EPITOME di Jeti Tanjung Langsat Port (TLP), Pasir Gudang.
Pihak JAS menerima aduan mengenai tumpahan minyak di TLPT itu sebelum menghantar sepasukan kakitangan jabatan itu bagi membuat siasatan.
“Operasi pemunggahan dihentikan serta-merta dan Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) TLPT diaktifkan, manakala dua unit ‘oil boom’ dipasang menggunakan beberapa bot,” katanya.
Mengulas lanjut, Tian Soon berkata, pihak berkuasa Singapura memaklumkan terdapat sedikit kesan tumpahan di perairan negara jiran itu, namun tindakan segera diambil dan situasi terkawal.
“Singapura sentiasa berhubung rapat dengan kami, sama seperti insiden-insiden terdahulu. Jika kejadian berlaku di kawasan mereka, mereka akan maklumkan kepada kita, dan sebaliknya jika berlaku di pihak kita,” katanya.
Menurut Tian Soon, insiden berkenaan tidak memberi kesan kepada komuniti nelayan tempatan memandangkan ia bukan satu insiden besar.
Insiden itu ujarnya, dapat dikesan awal dan tindakan segera berjaya mengurangkan impak tumpahan tersebut dengan kerja pembersihan ditanggung syarikat kapal yang terlibat.- MalaysiaGazette