KUALA LUMPUR – Sekumpulan sukarelawan pelajar dan kakitangan Universiti Putra Malaysia (UPM) melaksanakan misi bantuan pasca banjir selama dua hari di Kampung Masjid Pulau Pangkor, Perak baru- baru ini.
Misi bantuan dinamakan Skuad Jiwa Putra @Skuad Ihasan Madani KPT disertai seramai 33 sukarelawan yang memberi fokus kepada kerja-kerja pembersihan kawasan komuniti terjejas seperti pembersihan rumah, membuang barangan rosak dan mencuci kawasan sekitar.
Seramai tujuh pelajar asing dari Nigeria, Iraq, Indonesia, China, India dan Bangladesh turut terlibat dalam misi itu.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu yang mengetuai misi berkenaan berkata, usaha pasca banjir itu bukan sahaja membantu penduduk kembali kepada kehidupan yang lebih selesa dan selamat, tetapi membentuk peribadi mahasiswa UPM yang cakna, prihatin dan sedia berbakti kepada masyarakat.
“UPM sentiasa komited memperkasakan semangat kesukarelawanan pelajar kepada komuniti dengan slogan Jiwa Putra yang diperkenalkan pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir turut meninjau kawasan banjir di Pangkor dan Manjung dan pada masa sama mengucapkan penghargaan kepada Skuad Jiwa Putra UPM kerana membersihkan kawasan sekolah.
Beliau menyifatkan banjir kali ini adalah yang terburuk khususnya di Pulau Pangkor dan berharap kawasan-kawasan yang rosak akan mendapat tindakan positif.
Penganjuran misi tersebut adalah usaha antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM, dan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM. – MalaysiaGazette