Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin

PETALING JAYA – Kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin meninggal dunia akibat jerutan dileher menggunakan tali, lanyard atau kain yang dipintal bukan kerana mati lemas.

Pakar Perubatan Perunding Forensik, Dr. Rohayu Shahar Adnan mengesahkan sebab kematian sebagai ligature strangulation (jerut) dengan kesan jerutan melintang pada leher.

Beliau yang melakukan bedah siasat terhadapnya berkata, mayat Zayn Rayyan menunjukkan kesan trauma tumpul dan tajam namun ini tidak menyebabkan kematian.

“Tiada luka pertahanan pada mangsa atau luka menumbuk dan menendang dilihat pada arwah Zayn Rayyan,” katanya.

Ibu bapa kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf tiba di perkarangan Mahkamah bersama-sama ahli keluarga bagi sambungan perbicaraan atas tuduhan menganiaya anak mereka di Kompleks Mahkamah, Petaling Jaya. Foto HARI ANGGARA, 18 FEBRUARI 2025. (GAMBAR FAIL)

Doktor itu yang sebelum ini bertugas di Hospital Sungai Buloh melakukan bedah siasat terhadap mayat kanak-kanak itu yang  berketinggian 119 sentimeter (sm) dan berat badan 17.2 kilogram pada 12 tengah hari pada 7 Disember 2023.

Perkara itu dimaklumkan Dr Rohayu yang juga saksi pendakwaan ke-27 ketika sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.

Dr Rohayu, 54, yang kini bertugas di bahagian sama di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pasir Gudang, Johor memberi keterangan pada hari ke-15 prosiding perbicaraan pertuduhan pengabaian dihadapi Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr Syahliza Warnoh.

Kata doktor berkenaan, kecederaan pada Zayn Rayyan dianggap perimortem iaitu berlaku sebelum kematian dengan kesan sistem pertahanan badan.

Dr Rohayu berkata, kesan jerutan pada leher yang bertindih terletak enam sm di bawah telinga kanan dan kiri, otot leher dan kelenjar tiroid di bawah kesan jerutan ini turut lebam.

“Kesan jerutan ini boleh terhasil daripada sebarang objek dibentuk contohnya tali, lanyard atau kain dipintal malah kedudukan jerutan adalah sama iaitu enam sm di bawah telinga kanan dan kiri maka kesan ini adalah horizontal (melintang).

“Berbeza dengan gantung, kesannya adalah oblique (serong) dan berbeza di telinga kanan kiri si mati, tiada lebam otot leher kerana gantung adalah proses pasif, maknanya sebarang objek dibentuk keliling leher ia diketatkan oleh berat badan si mati dan tarikan graviti,” katanya.

Katanya, mayat Zayn Rayyan juga menunjukkan kesan trauma tumpul dan tajam.

Menurutnya, kesan trauma tumpul dan tajam itu tidak mematikan tetapi adalah penderaan fizikal ke atas arwah Zayn Rayyan.

Beliau juga berkata, kecederaan Zayn Rayyan adalah kecederaan  baharu sejurus sebelum kematian kerana terdapat kesan reaksi sistem pertahanan badan yang dapat dilihat melalui pemeriksaan mikroskopik.

“Kedutan pada kulit tapak tangan dan kaki kesan rendaman air iaitu kulit yang berkedut-kedut atau dinamakan washer woman appearance bukannya punca kematian kerana arwah tidak mati lemas di dalam air, malah tiada penyakit serius pada organ dalaman yang ditemui.

“Jerutan di leher yang melebamkan otot leher dan kelenjar tiroid menunjukkan ia cukup kuat sehingga menyekat kemasukan oksigen untuk ke paru-paru dan otak yang melemaskan arwah mengakibatkan kematian.

“Dengan ini, saya simpulkan sebab kematian sebagai ligature strangulation (jerut),” katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan dan Ismanira sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama di sini antara 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here