[ARKIB] Petugas dari Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Klang membuat semburan kabus nyamuk Aedes yang menjadi punca kepada penyakit denggi di sebuah kawasan perumahan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Meru, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 14 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,021 kes demam denggi dicatatkan pada Minggu Epidemiologi ke-13 (23 – 29 Mac 2025), menurun 9.6 peratus berbanding 1,129 minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan memaklumkan, tiada kes kematian direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.

Katanya, secara kumulatif, jumlah kes demam denggi sehingga kini adalah sebanyak 16,296 kes dengan 10 kematian, berbanding 44,144 kes (penurunan 63.1 peratus) dan 31 kematian (penurunan 67.7 peratus) untuk tempoh yang sama tahun 2024.

Namun begitu, bilangan lokaliti hotspot telah meningkat kepada 21 lokaliti pada Minggu Epidemiologi ke-13 berbanding 20 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya (peningkatan 0.05 peratus).

Daripada 21 lokaliti yang dilaporkan, 14 lokaliti adalah di Negeri Selangor (67 peratus), tiga lokaliti di Kuala Lumpur & Putrajaya (14 peratus), dua lokaliti di Negeri Sabah (9 peratus), satu lokaliti di Negeri Sembilan (5 peratus) dan satu lokaliti di Negeri Kedah (5 peratus).

“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada untuk memastikan kes denggi tidak meningkat dan kekal di bawah paras median lima tahun.

“Aktiviti semasa musim perayaan seperti pulang ke kampung, saling berziarah dan pergi bercuti boleh meningkatkan risiko jangkitan denggi di kawasan setempat dan kawasan lain.

“Ini kerana, pergerakan penduduk boleh menyebarkan virus denggi melalui individu yang dijangkiti termasuk individu yang tidak bergejala,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Oleh itu, orang ramai perlu mengambil langkah-langkah pencegahan kendiri seperti memakai pakaian yang menutupi anggota badan, menggunakan ubat penghalau nyamuk (repellent) pada bahagian badan yang terdedah serta memastikan persekitaran bersih dan bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes dengan melakukan aktiviti ‘Cari dan Musnah’ sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu.

Layari portal iDengue di https://idengue.mysa.gov.my/ untuk mengetahui informasi terkini berkaitan situasi semasa denggi di tempat kawasan tempat tinggal atau di mana-mana kawasan yang hendak dikunjungi. MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here