Datin Seri Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 10 anak syarikatnya hari ini menarik balik saman terhadap seorang wanita warga Singapura, Shabnam Naraindas Daswani, berhubung pembelian barangan mewah bernilai lebih USD346 juta, yang didakwa diperoleh daripada dana 1MDB yang diseleweng.

Wanita itu disaman bersama Datin Seri Rosmah Mansor, namun isteri kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu masih kekal sebagai defendan pertama dalam saman tersebut.

Peguam Nathalie Ker Si Min yang mewakili 1MDB berkata penghakiman persetujuan telah direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Wan Muhammad Amin Wan Yahya pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian hari ini.

“Penghakiman persetujuan tersebut merekodkan bahawa plaintif (1MDB) menghentikan saman terhadap Shabnam dengan kebebasan untuk memfailkan semula,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Sementara itu, peguam Datuk N. Sivananthan yang mewakili Shabnam ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Pada 9 Mei 2024, 1MDB dan 10 syarikat memfailkan saman itu dengan menamakan Rosmah dan Shabnam (juga dikenali sebagai Natasha Mirpuri) sebagai defendan pertama dan kedua.

Sepuluh anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited dan SRC International Sdn Bhd, Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited selaku plaintif kedua hingga ke-11.

Semua plaintif,antara lain, menuntut agar Rosmah membayar USD346,010,489 atau sejumlah amaun yang akan ditaksir oleh mahkamah, selain memohon deklarasi bahawa plaintif pertama hingga keenam mempunyai hak terhadap barangan mewah yang kini didakwa berada dalam simpanan defendan pertama.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here