JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor mengeluarkan 7,592 notis sepanjang Ops Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 yang diadakan bermula 31 Mac lalu hingga malam tadi.
Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan berkata, notis tersebut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan selepas melakukan pemeriksaan terhadap 23,715 buah kenderaan.
“Menerusi operasi ini kita dapati tahap kesedaran kepada pematuhan peraturan keselamatan jalan raya khususnya kenderaan persendirian masih berada pada skala rendah.
“Ini dapat diperhatikan apabila sejumlah 1,696 (23 peratus) notis dikeluarkan akibat kegagalan memiliki Lesen Memandu Malaysia (LMM), 1,423 (18 peratus) gagal memperbaharui atau tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) manakala 1,036 (14 peratus) tiada perlindungan insurans,” katanya dalam sidang akhbar di Plaza Tol Skudai di sini malam tadi.
Katanya, selain itu, kesalahan teknikal seperti gagal selenggara tayar sebanyak 101 kesalahan, kegagalan fungsi brek sebanyak 38 kesalahan dan lampu brek tidak berfungsi sebanyak 116 kesalahan yang juga menyumbang kepada faktor kemalangan jalan raya.
Menurut beliau, sebanyak 329 atau lima peratus notis pula adalah menggambarkan pemandu dengan sikap memandu secara tidak selamat dan berisiko tinggi kerana pelanggaran sembilan kesalahan utama yang menjadi punca kepada kemalangan maut.
Ujarnya, JPJ Johor juga mengesan dan mengambil tindakan sitaan sebanyak 106 buah kenderaan atas kesalahan tidak selamat atau tidak layak berada di jalan raya.
Azmil berkata, menerusi operasi khas itu, pihaknya berusaha untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.
“Sepanjang tempoh Ops Khas ini, JPJ Negeri Johor memfokuskan kepada pengesanan dan penilaian pematuhan syarat-syarat dan peraturan keselamatan, serta kenderaan dipandu dengan selamat berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta715) dan Kaedah -Kaedah di bawahnya,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau berkata, JPJ Johor memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan pihak syarikat, pemilik dan mana-mana pemandu yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
Tambahnya, penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dilaksana secara berterusan bagi memastikan ekosistem pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna.
“Kita menyeru dan memohon kerjasama kepada pengguna jalan raya dan orang awam untuk mematuhi peraturan dan bertoleransi dengan pengguna lain demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya.- MalaysiaGazette