KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memberi ruang sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap kes Abang Belon.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, pihaknya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berhubung kes tular itu kerana siasatan kini berada di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kes ini telah menjadi kes polis, jadi saya tidak mahu membuat apa-apa kenyataan.
“Sehingga polis selesai, kita berikan ruang kepada pihak polis untuk membuat siasatan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Pembukaan Laluan Pejalan Kaki Bertutup yang menghubungkan Stesen LRT Taman Melati ke Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) di TAR UMT, hari ini.
Baru-baru ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan oleh pihak polis sudah selesai dengan kertas siasatan lengkap sudah pun diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) pada 2 dan 4 April lalu.
Walau bagaimanapun, polis sedang menunggu arahan lanjut daripada pihak DPP untuk tindakan selanjutnya.
Setakat ini, lebih 11 individu sudahpun dirakam keterangan termasuk sembilan pegawai DBKL serta dua orang awam termasuk pembekal belon.
Tiga kertas siasatan juga telah dibuka berkait kes ini, masing-masing mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam menjalankan tugas) dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah).
Selain itu, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian) serta Seksyen 325 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette