GEORGE TOWN – Pas Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri membatalkan acara muzik selama dua hari sempena pesta Songkran yang dijadualkan di Batu Ferringhi pada hujung minggu ini.
Ketua Penerangan Pas negeri, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, program yang dianjurkan Ferringhi Heart Beach Club Malaysia itu jelas mempromosikan acara yang mencolok mata dan menjatuhkan martabat nilai insan.
Fawwaz yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, negara bahkan dalam agama tidak menghalang program berbentuk hiburan, tetapi perlulah mengikut tatacara serta peraturan yang telah ditetapkan.

Foto FB
“Pas Pulau Pinang menzahirkan rasa kecewa berkaitan penyebaran iklan program itu yang mengguris hati rakyat Malaysia.
“Budaya hedonisme yang melampaui batas serta adab tidak seharusnya dibenarkan apatah lagi mendapat sambutan kerana rentetan daripada gaya hidup berkiblatkan barat.
“Sehubungan itu, kita mendesak pihak berwajib, kerajaan negeri serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang membatalkan program ini serta memantau dan menghalang sebarang program lain yang tidak mengikut piawaian dan membawa unsur kemaksiatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Acara yang dikenali sebagai ‘Sonic Splash Songkran Music Beach Party’ itu dijadualkan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini bermula jam 4 petang.
Tiket juga dijual kepada dewasa dan kanak-kanak berusia tiga tahun keatas. – MalaysiaGazette