KUALA LUMPUR – Aktivis masyarakat, Kasthuri Patto menyarankan pelajar yang terlibat dalam kejadian buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang baru-baru ini turut perlu menjalani rawatan mental.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Kawan berkata, sekiranya terdapat mana-mana unsur isu kesihatan mental, maka pelajar berkenaan perlu menerima rawatan dan diletakkan di bawah pemantauan.
Sekiranya didapati tidak ada unsur isu kesihatan mental, jelas beliau, maka tindakan undang-undang wajib diambil terhadap pelajar berkenaan, bukan sekadar ditamatkan pengajian.
“Niat untuk mencederakan sesama rakan bukan perkara yang barangkali tiba-tiba timbul.
“We have to get to the bottom of this phenomenon. My heart goes out to the child who was tortured. (Perkara ini perlu disiasat hingga ke akar umbi. Saya bersimpati dengan kanak-kanak yang menjadi mangsa buli).
“Kaunseling dan sokongan emosi harus disediakan untuk kanak-kanak tersebut,” katanya yang aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kemanusiaan dalam kenyataan di laman sosial Facebook beliau semalam.
Sebelum ini, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Jawatankuasa Disiplin MRSM mengesyorkan tujuh pelajar MRSM yang terlibat dalam kejadian buli tersebut ditamatkan pengajian daripada maktab itu.
Menerusi hantaran di Facebooknya, beliau berkata, pejabatnya juga tidak akan melayan rayuan pelaku insiden itu, jika mereka berbuat demikian.

Sementara itu, dalam hantaran terbaharu Asyraf Wajdi hari ini, beliau berkata, kejadian buli di sekolah tidak seharusnya disalahkan terhadap pelajar atau guru semata-mata.
Sebaliknya, kata beliau, ibu bapa dan masalah di rumah juga antara faktor utama membiaknya perilaku buli hingga terbawa-bawa ke asrama dan sekolah.
Sebelum ini, polis mengesahkan video berdurasi satu minit 31 saat tular di media sosial yang memaparkan seorang pelajar dibuli di asrama, berlaku di sebuah MRSM di Seberang Perai Selatan pada pertengahan tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung insiden itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan. – MalaysiaGazette