KUALA LUMPUR – AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) mengumumkan peletakan jawatan Ketua Pegawai Kewangannya, Shafiq Abdul Jabbar berkuatkuasa 1 Julai 2025.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AmBank Group, berkata pencarian ketua pegawai kewangan yang baharu sudah dilaksanakan dan pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.
“Dalam tempoh itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ling Fou-Tsong @ Jamie Ling akan menyelia fungsi kewangan kumpulan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Shafiq yang akan meneroka peluang profesional lain mulai bercuti bermula esok.
Terdahulu, portal The Edge yang memetik sumber industri melaporkan, Shafiq akan menyertai kumpulan perbankan terbesar, Maybank sebagai CFO.
Beliau dikhabarkan bakal menggantikan peranan yang dipegang Khalijah Ismail sebelum ini.
Maybank bagaimanapun tidak memberi sebarang maklum balas ketika dihubungi. -MalaysiaGazette