KUALA LUMPUR – Pemuda AMANAH mahu rakyat berhenti bermain politik dan sebaliknya bersama-sama menyokong usaha kerajaan menangani cabaran ekonomi susulan tarif baharu yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda AMANAH, Dr Vincent Ng Rui Wei berkata, tindakan AS menaikkan cukai ke atas produk seperti komponen elektronik dan alat ganti kenderaan dari Asia akan memberi kesan besar kepada ekonomi Malaysia.
“Malaysia sebagai negara perdagangan terbuka amat bergantung kepada kestabilan pasaran global dengan nilai eksport ke AS mencecah lebih USD52.5 bilion setahun.
“Dalam suasana ekonomi global yang masih rapuh akibat konflik geopolitik dan tekanan inflasi, tumpuan seharusnya diberikan kepada strategi bersasar, bukan retorik politik atau kritikan tidak berasas.
“Rakyat perlu bersama kerajaan dalam usaha memperkukuh diplomasi dan merangka pelan tindak balas ekonomi yang cepat dan tersusun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan mesyuarat khas Menteri Ekonomi ASEAN bagi mencari jalan penyelesaian serantau terhadap isu ini.
“Kerajaan juga boleh menggerakkan pusat khas NGCC (National Geoeconomic Command Centre) untuk pantau dan tangani masalah ekonomi global dengan lebih pantas.
“Selain itu, beberapa cadangan lain yang boleh kami berikan adalah seperti memperluas rundingan dagangan dengan negara lain, galakkan pelaburan dalam negara, bantu syarikat teknologi tinggi dan latih semula pekerja yang terjejas,” tambahnya.
Vincent merupakan seorang Exco bukan Islam yang dilantik dalam Pemuda AMANAH Nasional.
Hal itu membuktikan parti itu bersikap terbuka dan satu langkah simbolik ke arah politik yang lebih inklusif dan mencerminkan realiti masyarakat majmuk di Malaysia.
“Walaupun tarif AS mungkin bersifat sementara, Malaysia memerlukan strategi jangka panjang yang kukuh, berdaya saing dan tidak bergantung sepenuhnya kepada kuasa besar.
“Malaysia tidak boleh hanya menunggu. Ini masa untuk bertindak dengan berani dan bersatu,” ujarnya. – MalaysiaGazette