PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen hari ini diperdengarkan tentang kewujudan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mirip allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin bertarikh 5 Disember 2023 iaitu tarikh kanak-kanak autistik itu dilaporkan hilang.
Sebanyak 10 rakaman telah dimainkan ketika pemeriksaan utama dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi pada hari ke-16 kes pengabaian terhadap ibu bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di sini.
Antaranya, rakaman yang menunjukkan kelibat seorang kanak-kanak dipercayai mangsa dalam longkang, seorang saksi berlari serta pergerakan ibu mangsa di sebuah pasar raya pada hari tarikh tersebut.
Saksi pendakwaan ke-26, Asisten Superintendan (ASP) Latifah Abdul Aziz yang juga seorang Juruanalisis Kanan Siasatan Audio Video dari Makmal Forensik PDRM mendedahkan, sebuah ‘folder’ bertajuk ‘CCTV nampak mangsa mirip Zayn Rayyan dalam longkang’ telah dikhususkan oleh pegawai penyiasat pada 5 Disember 2023 sekitar jam 12.13 tengah hari.
Sebelum itu, satu lagi rakaman ditunjukkan sekitar jam 12.08 tengah hari yang menunjukkan saksi berlari memakai baju berwarna hitam, bagaimanapun Latifah tidak dapat memberitahu siapakah saksi tersebut.
“Saya berjaya mengenal pasti dan menangkap sembilan imej daripada rakaman ini, imej wajah individu dipercayai mangsa adalah tidak jelas kerana terhalang oleh pagar dan jarak yang jauh antara kamera dengan subjek,” katanya.

Selain itu, Latifah turut menganalisis rakaman dari premis Econsave yang menunjukkan pergerakan seorang wanita dipercayai ibu Zayn, mengenakan tudung hitam dan baju bercorak hijau sambil membawa beg berwarna ungu dan putih.
Rakaman tersebut dirakam antara jam 11.54 pagi hingga 11.57 pagi, iaitu kira-kira 15 minit sebelum kelibat kanak-kanak dalam longkang itu dirakam.
Bagaimanapun, semua imej yang dianalisis didapati kabur dan tidak dapat menunjukkan wajah individu secara jelas, berikutan halangan objek seperti pokok, pagar serta kekangan teknikal pada rakaman asal.
Peguam bela, Haresh Mahadevan yang mewakili pasangan suami isteri itu turut menyoal ketika pemeriksaan balas berkaitan rakaman CCTV tersebut.

Soalnya, berdasarkan rakaman CCTV di pasar raya, pakaian yang dipakai Ismanira adalah berwarna baju bunga hijau, bertudung hitam dan membawa beg berwarna ungu putih, Latifah menjawab ‘ya, betul’.
“Ibu kepada mangsa pada bila-bila masa dalam rakaman CCTV tidak memakai baju putih, anda tolong jawab adakah betul atau tidak?,” soalnya.
Latifah menjawab betul.
Haresh juga mohon mahkamah memainkan rakaman CCTV di kaunter pasar raya dimainkan semula bagi melihat ibu mangsa, Ismanira yang kelihatan sedang menggunakan kad membayar barangan seperti ‘spagetti’.
“Anda setuju tertuduh membayar menggunakan kad?,” soal Haresh dan Latifah sekali lagi mengiyakan.
Saksi ini kemudian dilepaskan selepas hampir seharian memberikan keterangan berkaitan analisis rakaman CCTV pada hari Zayn Rayyan hilang.
Mahkamah akan kembali prosiding pada 21 April depan selepas pendakwaan dan pembelaan memohon masa lebih panjang untuk menyoal balas saksi seterusnya.
Sepatutnya kes bersambung esok dan lusa namun pembelaan mahu masa untuk meneliti kembali jawapan keterangan saksi seterusnya yang juga penyiasat dalam kes ini.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal pada 5 Disember 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam. – MalaysiaGazette