Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat Amanah, Azli Yusof. - Foto: FB Amanah Negeri Selangor

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mencadangkan satu mekanisme aduan yang terbuka dan telus diwujudkan bagi menangani kejadian buli khususnya di sekolah.

Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat Amanah, Azli Yusof berkata, sistem aduan itu perlu dipastikan mesra pelajar supaya mangsa buli tidak teragak-agak melaporkan kejadian menimpa mereka.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menambah, sistem itu juga perlu menjamin kerahsiaan dan perlindungan kepada pemberi maklumat, supaya mereka tidak dikenakan tindakan balas atau stigma.

“Amanah juga mencadangkan supaya satu platform aduan mesra pelajar dan ibu bapa diwujudkan di setiap sekolah berasrama penuh bagi mengatasi isu buli ini secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Azli menambah, kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk mewujudkan Dasar Antibuli yang lebih berkesan.

Jelasnya, semua institusi pendidikan terutama sekolah berasrama disaran memperkukuh pelaksanaan polisi antibuli yang menyeluruh termasuk pencegahan, pengesanan awal, mekanisme aduan yang mudah, dan intervensi berasaskan psikososial.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa latihan dan kesedaran kepada warga sekolah merangkumi guru, warden dan kakitangan sekolah dipertingkatkan untuk mengesan dan menangani gejala buli.

Ujar beliau, pelajar juga perlu dididik tentang empati, hormat-menghormati dan keberanian untuk melaporkan sebarang salah laku, manakala ibu bapa dan masyarakat perlu dilibatkan secara aktif dalam membina ekosistem pendidikan yang selamat.

“Amanah percaya pembinaan sahsiah pelajar yang seimbang adalah asas kepada pembinaan negara madani dan beretika.

“Maka, setiap institusi pendidikan wajib memainkan peranan untuk memastikan anak-anak kita dibimbing dalam suasana ihsan dan penuh hormat,” katanya.

Sebelum ini, polis mengesahkan video berdurasi satu minit 31 saat tular di media sosial yang memaparkan seorang pelajar dibuli di asrama, berlaku di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Seberang Perai Selatan pada pertengahan tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung insiden itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here