Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah) menyampaikan ucapanya ketika hadir pada sidang perbincangan penduduk Kg Sungai Baru di Pusat Rukun Tetangga Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 09 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan isu pemilikan tanah di Kampung Sungai Baru bukan sekadar permainan politik sebaliknya perjuangan serius mempertahankan hak rakyat.

Beliau berkata, pemilik tanah di kawasan tersebut memiliki geran sah dan status tanah Rizab Melayu yang jelas namun kerajaan dilihat cuba mengambil alih tanah tersebut dengan alasan pembangunan semula.

“Saya nak beritahu, ini bukan retorik. Kita akan lawan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim habis-habisan,” tegasnya ketika turun dalam sidang perbincangan penduduk Kampung Sungai Baru hari ini.

Menurut Hamzah, beliau bersama ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional serta beberapa rakan lain yang tidak berada dalam blok itu akan terus memperjuangkan isu berkenaan sama ada melalui saluran politik atau undang-undang.

“Kita nak perjuangkan tanah ini kerana ia milik penduduk. Ada geran, ada hak. Ini tanah Rizab Melayu, ini bukan sewenang-wenangnya boleh diambil,” tambahnya.

Hamzah turut mempersoalkan tindakan beberapa pihak yang menandatangani kelulusan projek pembangunan semula kawasan itu sambil menyatakan rasa tidak puas hati terhadap proses pampasan yang ditawarkan kepada penduduk.

“Saya nak cerita hari ini… siapa yang tandatangani pun, kita akan tentang habis-habisan. Tanah kita, rumah kita. Ini adalah aset kita. Kalau kita tak pertahankan hari ini, esok tanah ini hilang begitu sahaja,” katanya.

Menurut beliau, isu pemilikan tanah bukan sekadar soal politik tetapi soal maruah dan masa depan komuniti Melayu di kawasan bandar.

Kampung Sungai Baru merupakan sebahagian daripada kawasan Malay Agricultural Settlement (MAS) yang telah diwartakan sejak zaman penjajahan lagi sebagai tanah rizab khas untuk masyarakat Melayu.

“Sejarah telah membuktikan bahawa ini tanah MAS, iaitu kawasan Rizab Melayu yang kita kena pertahankan sampai bila-bila.

“Kita dah bawa ke Parlimen. Bukan tak bawa. Tapi kita akan lawan di luar juga.

“Saya dan rakan-rakan akan terus berjuang. Bukan sahaja yang dalam PN tapi siapa saja yang sanggup bersama, kita teruskan perjuangan ini,” jelasnya.

Isu Kampung Sungai Baru timbul apabila kerajaan merancang untuk mengambil semula tanah bagi tujuan pembangunan semula melalui Akta Pengambilan Tanah 1960.

Namun sebahagian penduduk membantah tindakan itu kerana mendakwa nilai pampasan yang diberikan jauh lebih rendah berbanding harga pasaran sebenar.

Pada 25 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan sementara terhadap pengusiran beberapa penduduk Kampung Sungai Baru setelah mereka memfailkan semakan kehakiman berhubung pengambilan tanah mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Zaliha Mustafa sebelum ini berkata, kerajaan bersedia untuk mengadakan rundingan semula dengan pemilik hartanah yang terlibat namun belum ada penyelesaian konkrit dicapai.

Dalam pada itu, Hamzah menegaskan, perjuangan  akan diteruskan dan beliau tidak gentar untuk berdepan dengan sesiapa sahaja yang cuba menafikan hak pemilik tanah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here