DALAM keghairahan sesetengah pihak memperjuangkan agenda politik masing-masing, penjawat awam tidak seharusnya dijadikan mangsa atau bahan cemuhan yang akhirnya menjejaskan imej dan kelancaran sistem pentadbiran negara. Perkhidmatan awam adalah tunjang kestabilan pentadbiran kerajaan dan perlu bebas daripada pengaruh politik yang bersifat perpecahan serta kebencian.
Tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap individu yang dikenali sebagai “Abang Belon”, baru-baru ini telah mencetuskan reaksi pelbagai pihak. Segelintir masyarakat menuduh penguat kuasa bersikap tidak berperikemanusiaan, sedangkan tindakan itu diambil berasaskan peraturan sedia ada dan amaran untuk bekerjasama telahpun yang telah pun dimaklumkan terlebih dahulu kepada individu terbabit.
Tuduhan melulu tanpa memahami konteks sebenar bukan sahaja menjejaskan imej penjawat awam, malah memburukkan persepsi rakyat terhadap institusi penguatkuasaan. Tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab ini seolah-olah menangguk di air yang keruh demi kepentingan politik kebencian semata-mata.
Situasi sama turut berlaku dalam insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya yang menyebabkan kecederaan keseluruhan 134 mangsa penghuni perumahan berkenaan. Pasukan penyelamat seperti bomba dan polis segera bertindak dalam keadaan penuh risiko. Malangnya, tindakan profesional mereka turut dipersoal dan diperlekeh di media sosial, seolah-olah mereka gagal melaksanakan tanggungjawab dan cuba melindungi pihak-pihak tertentu dalam penyiasatan yang dilakukan.
Ikrar perkhidmatan awam
Serangan terhadap penjawat awam dalam kes-kes seperti ini menunjukkan wujudnya kecenderungan dalam kalangan masyarakat terutamanya para netizen dan termasuk segelintir ahli politik untuk menjadikan penjawat awam sebagai ‘kambing hitam’ apabila sesuatu isu mendapat perhatian umum. Ini adalah amalan tidak sihat dan boleh membawa kepada ketidakstabilan dalam jentera pentadbiran negara.
Perlu difahami bahawa setiap penjawat awam mengangkat ikrar perkhidmatan semasa memulakan tugas, yang antara lain menyebut komitmen untuk setia kepada negara, menjunjung Perlembagaan dan menjalankan tugas dengan jujur, cekap serta amanah. Ikrar ini juga menekankan tanggungjawab untuk mendokong dan melaksanakan apa-apa dasar oleh kerajaan yang memerintah. Ini bukan bermaksud mereka memihak kepada mana-mana parti politik, sebaliknya menjunjung prinsip bahawa dasar kerajaan yang sah perlu dilaksanakan demi rakyat.
Perkhidmatan awam tidak boleh dipolitikkan. Ia berfungsi sebagai mekanisme pelaksana dasar yang memastikan rakyat menerima perkhidmatan tanpa diskriminasi. Seorang guru mengajar semua murid tanpa mengira fahaman politik keluarga mereka. Seorang doktor di hospital kerajaan tidak menyoal latar politik pesakit sebelum memberi rawatan. Inilah nilai neutraliti yang perlu terus dipelihara tanpa mereka menggadai profesionalisme masing-masing.
Politik kebencian
Jika penjawat awam mula ditakut-takutkan atau menjadi sasaran kecaman politik, ia akan melemahkan semangat serta keberkesanan sistem perkhidmatan awam. Dalam jangka panjang, kita akan menyaksikan kesan negatif terhadap prestasi dan moral jentera pentadbiran negara.
Budaya politik kebencian juga berisiko menyebabkan penjawat awam berasa serba salah dalam membuat keputusan, terutama dalam hal-hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang. Ini akhirnya boleh membawa kepada krisis kepercayaan rakyat terhadap institusi awam. Kritikan terhadap mana-mana agensi kerajaan adalah dibenarkan dalam sistem demokrasi.
Namun, ia mesti disalurkan melalui saluran yang betul dan berlandaskan fakta. Menjadikan media sosial sebagai platform untuk menghukum tanpa usul periksa adalah tindakan tidak bertanggungjawab.
Penjawat awam perlu diberi ruang dan sokongan untuk menjalankan tanggungjawab mereka dengan amanah. Mereka bukan alat mana-mana parti, tetapi berperanan penting dalam memastikan kelangsungan perkhidmatan dan pembangunan negara. Oleh itu, semua pihak sama ada ahli politik, aktivis atau masyarakat umum perlu menolak sebarang usaha yang cuba mengheret penjawat awam ke dalam kancah perbalahan politik yang memecah belah.
Kerajaan dan rakyat harus berdiri teguh mempertahankan integriti perkhidmatan awam. Penjawat awam yang amanah dan cekap adalah aset negara yang wajib dipelihara, bukan dijadikan sasaran apabila berlaku perbezaan pandangan politik. Walaupun ingin mengejar pengaruh di media sosial atau undi serta kuasa, jangan sampai menggadai prinsip kebenaran dan keluhuran akhlak.
Zukiferee Ibrahim
Pengarah
Pejabat Komunikasi Korporat,
Universiti Malaysia Terengganu