KUALA LUMPUR – Menteri-menteri ASEAN+3 akan menyokong pelaksanaan Kemudahan Pembiayaan Pantas (RFF) yang bertujuan membantu negara anggota yang mengalami kekangan kewangan daripada kesan kejutan atau masalah kewangan disebabkan oleh faktor luaran.
Selain kemudahan jaringan keselamatan ini, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Marzunisham Omar mengumumkan kumpulan itu juga akan memperkukuh Modal Berbayar, yang merupakan sebahagian daripada Chiang Mai Initiative Multilateralisation (CMIM), mekanisme serantau bantu diri untuk membantu negara yang menghadapi masalah kecairan.
“Kedua-dua program ini akan membantu anggota ASEAN untuk membantu antara satu sama lain sekiranya berlaku krisis,” katanya kepada Bernama selepas mempengerusikan bersama mesyuarat Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Gabenor Ban Pusat ASEAN+3 hari ini.
Beliau, bagaimanapun, menegaskan negara-negara ASEAN tidak dijangka mengalami sebarang krisis kewangan.
“Tidak, kita tidak mengalami dan tiada negara di rantau ini menghadapi sebarang krisis kecairan.
“Namun suatu yang baik sekiranya kita bersiap sedia,” kata Marzunisham.
Beliau berkata kemudahan itu mencerminkan usaha rantau ini untuk bersatu padu membantu mana-mana negara anggota sekiranya kecairan diperlukan.
“Kemudian adanya konsensus yang kita akan teliti bagaimana kita boleh mengukuhkan lagi perdagangan serantau.
“Terdapat konsensus untuk kita melihat sama ada secara individu atau kolektif, kita boleh bersama-sama meningkatkan pelaburan dalam bidang pendigitalan dan pelaburan berkaitan iklim. Dan ketiga adalah keperluan untuk mengukuhkan sektor kewangan, ketahanan kewangan kita,” katanya.
Mengenai strategi ASEAN untuk menangani kesan tarif tinggi yang dikenakan Amerika Syarikat (AS), Marzunisham berkata walaupun rundingan sedang berjalan, kerajaan telah menggariskan rancangan komprehensif dan inti pati utama untuk menyokong kedudukannya.
“Kita tidak akan bertindak balas (terhadap AS), dan kita akan mengadakan rundingan AS. Esok akan ada mesyuarat menteri-menteri ASEAN, nanti kita tunggulah sama ada mereka akan dapat mencadangkan sebarang tindakan konkrit secara kolektif di peringkat ASEAN,” katanya.
— BERNAMA