PUTRAJAYA – Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan kerajaan terbuka menerima cadangan membabitkan soal had kuasa Perdana Menteri untuk melantik beberapa jawatan penting termasuk Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jurucakap kerajaan yang juga Menteri Komunikasi itu berkata, langkah berkenaan mencerminkan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia mendengar pelbagai pandangan selaras dalam menjayakan agenda reformasi kepada institusi penting dalam negara.
“Kerajaan terbuka menerima pandangan pelbagai pihak untuk menambah baik, sama ada dari segi perundangan atau proses demi dalam usaha membawa reformasi kepada institusi yang penting kepada negara kita,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi hari ini.
Ditanya sama ada kerajaan akan melanjutkan tempoh perkhidmatan Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Menteri Komunikasi itu memaklumkan perkara tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Tidak dibincangkan (dalam mesyuarat jemaah menteri),” katanya ringkas.
Sebelum ini, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata dengan tamatnya tempoh perkhidmatan Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, ia memberi peluang kepada kerajaan untuk mendemokrasikan proses pelantikan untuk jawatan itu.
C4 berkata, proses pelantikan jawatan itu sudah lama dikritik memandangkan budi bicara untuk melantik dan memecat dipegang oleh Perdana Menteri yang jelas membawa risiko wujudnya pertimbangan politik yang mempengaruhi siapa yang akan dipilih.
Kata C4 lagi, walaupun proses meminda undang-undang berhubung perkara itu akan mengambil masa, kerajaan boleh mengambil langkah awal dalam mendemokrasikan proses pelantikan menerusi langkah panggilan terbuka untuk calon dan menimbang pandangan daripada pembangkang dan pertubuhan masyarakat sivil.
Pada 4 April lalu, laporan Bloomberg yang memetik sumber mendakwa Azam akan diberi lanjutan selama enam bulan lagi. – MalaysiaGazette