KUALA LUMPUR – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah menyiapkan kerja-kerja pengorekan bagi 38 terowong di sepanjang jajaran rel setakat ini, susulan daripada dua penembusan terowong di Selangor pada awal minggu ini.
Pencapaian penting ini direkodkan dengan kejayaan penembusan ‘Terowong Serendah 1’ sepanjang 3.50 km pada 7 April 2025, iaitu dua bulan lebih awal daripada jadual, sekali gus menjadikannya terowong ECRL ke-38 yang telah selesai kerja-kerja pengorekan setakat ini.
ECRL telah mencatatkan penembusan terowong ke-37 pada 6 April 2025 dengan penyempurnaan kerja-kerja pengorekan bagi ‘Terowong Rawang-Bestari Jaya’ sepanjang 189 meter.
Dengan penembusan ini, ECRL kini telah mencapai 38 penembusan terowong daripada jumlah keseluruhan pembinaan 41 terowong di sepanjang jajaran relnya.
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dalam kenyataannya berkata, tiga terowong yang masih dalam proses pengorekan ialah ‘Terowong Berkembar Genting’ sepanjang 16.39 km dan ‘Terowong Serendah 2’ sepanjang 9.85 km.
Terowong Berkembar Genting, yang kini berada dalam fasa akhir pengorekan menggunakan dua mesin pengorek terowong (TBM) yang canggih, dijangka akan ditembusi pada pertengahan tahun 2025.
Sementara itu, ‘Terowong Serendah 2’, yang menggunakan kaedah gerudi dan letup, disasarkan untuk mencatat penembusan pada suku ketiga 2025.
Pada 7 April 2025, letupan terakhir di ‘Terowong Serendah 1’ telah menembusi penghadang terakhir kira-kira 2,046 meter dari pintu keluar terowong tersebut. Pencapaian ini merupakan hasil daripada kira-kira 894,920 jam tenaga kerja serta penggunaan kaedah pengorekan gerudi dan letup yang
menembusi kebanyakannya granit lapuk (weathered granite).
Kerja-kerja pemasangan lapisan kekal bagi ‘Terowong Serendah 1’ telah mencapai kemajuan membanggakan sejauh 2,500 meter sebelum penembusan berlaku.
Terowong ini mempunyai purata ketinggian 12 meter dan lebar 13 meter, sekali gus mampu menampung dua landasan rel berukuran standard apabila siap sepenuhnya.
Lapisan kekal bagi ‘Terowong Serendah 1’ telah mencapai kemajuan sepanjang 2,500 meter sebelum penembusan berlaku.
Terowong ini mempunyai purata ketinggian 12 meter dan kelebaran 13 meter, sekali gus menyediakan ruang untuk landasan berkembar tolok standard apabila siap sepenuhnya.
Kerja-kerja pengorekan bagi ‘Terowong Serendah 1’ telah dimulakan pada November 2022 dan dijadualkan selesai pada 31 Mei 2025. Semua kerja-kerja sivil berkaitan ‘Terowong Serendah 1’ dijangka siap sepenuhnya menjelang Januari 2026.
Pembinaan ‘Terowong Serendah 1’ akan membolehkan landasan kereta api ECRL mematuhi kecerunan maksimum 0.9 peratus serta meminimumkan impak terhadap kawasan tadahan air seperti mpangan Batu dan mengurangkan penebangan hutan terbuka di Hutan Rekreasi Sungai Tua.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, kerja-kerja pengorekan yang lancar di ‘Terowong Serendah 1’ dan ‘Terowong Rawang-Bestari Jaya’ adalah hasil cemerlang dan komitmen pasukan di Seksyen 8 dan Seksyen 9, serta penggunaan teknologi pengorekan terowong yang maju dan amalan pembinaan yang selamat.
“Kami mencatatkan satu pencapaian penting dengan pengorekan ‘Terowong Serendah 1’ sepanjang 3.50 km yang merupakan elemen utama dalam jajaran ECRL yang menghubungkan Gombak ke Pelabuhan Klang di Selangor. Sebanyak 512,582 meter padu tanah dan batuan telah dikeluarkan
dengan selamat, dengan pergerakan tanah yang minimum serta gangguan yang minimal kepada pengguna jalan raya sepanjang tempoh pengorekan menggunakan kaedah gerudi dan letup,” tambahnya.
Beliau menambah, ‘Terowong Rawang-Bestari Jaya’ telah di selesaikan menggunakan kaedah “benching” untuk memudahkan laluan pintasan bagi jajaran ECRL, tanpa perlu melintasi jalan utama sepanjang Jalan Rawang-Bestari Jaya.
Darwis juga berkata, kemajuan yang membanggakan telah dicapai dalam reka bentuk dan pembinaan terowong rel yang merupakan elemen utama Projek ECRL, dan menyatakan bahawa jajaran infrastruktur mega ini memerlukan pengorekan melalui kawasan berbukit dan hutan
tebal untuk menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang.
Pembinaan Fasa 1 Projek ECRL yang menghubungkan Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor dijadualkan siap pada Disember 2026, dengan operasi dijangka bermula pada Januari 2027.
Manakala, pembinaan Fasa 2 yang menghubungkan Gombak dengan Pelabuhan Klang dijangka siap pada Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028. – MalaysiaGazette