PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) memohon mengetepikan sepina yang dikeluarkan ke atasnya kerana tidak mahu menjadi saksi pembelaan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam Kanan Persekutuan, Nur Hidayah Raihan Md. Nasir memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, pihaknya memohon untuk mengetepikan sepina itu yang diterima secara lisan pukul 11 pagi semalam.
Menurut Nur Hidayah, pihaknya percaya permohonan untuk mengetepikan sepina itu perlu kerana Ketua Pengarah BPJPM terikat dengan Akta Perlindungan Saksi 2009
Ujar beliau, ia merupakan obligasi kerahsiaan untuk tidak membincangkan apa-apa maklumat mengenai peserta program atau hal ehwal program saksi.
“Jika Ketua Pengarah itu dipanggil sekali pun sebagai saksi, beliau tidak boleh menjawab apa-apa kerana terikat dengan undang-undang,” ujarnya.
Terdahulu, pasukan peguam Datuk Seri Najib Razak menyerahkan sepina itu semalam supaya ketua pengarah berkenaan memberikan keterangan berhubung bekas Ketua Perbankan Pelaburan Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa.

Pada Oktober 2023, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Roger Ng dibawa pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan pihak berkuasa berkaitan skandal kewangan 1MDB.
Pada prosiding hari ini, Nur Hidayah turut memaklumkan, ketua pengarah berkenaan menerima sepina pada pukul 11 pagi semalam namun ia tidak menyatakan mengapa beliau perlu hadir ke mahkamah hari ini.
“Bagaimanapun, berdasarkan percakapan telefon dgn pembelaan, saya mendapat maklumat bahawa pihak pembelaan ingin bertanyakan mengenai penama Roger Ng.
“Disebabkan tempoh masa yang singat, iaitu kurang daripada 24 jam, saya tidak dapat memfailkan kertas kausa bagi permohonan untuk mengetepikan sepina ini, Yang Arif,” katanya.
Sementara itu, peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya terkejut mengapa Ketua Pengarah BPJPM membantah permohonan sepina itu.
“Jasmine Loo Ai Swan (peguam 1MDB) terlibat dalam program sama, saya tidak tahu mengapa mereka tiba-tiba hendak melindungi saksi yang kami berminat,” katanya.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian mengarahkan supaya permohonan untuk mengetepikan sepina itu difailkan pada Jumaat ini, dan akan didengar Selasa depan.
Roger Ng dikenakan hukuman penjara 10 tahun selepas disabitkan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, New York kerana membantu menyeleweng berbilion dolar daripada dana 1MDB.
Ketua Hakim Margo Brodie memerintahkannya diserahkan kepada Perkhidmatan Penguatkuasaan AS supaya dia boleh diserahkan kepada pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang Malaysia.
Menurut surat Pendakwa Raya kepada Brodie, selepas siasatan, Roger Ng dikehendaki kembali ke AS bagi memulakan hukuman penjaranya.
Prosiding hari ini juga selesai mendengar keterangan saksi pembelaan ke-11, iaitu bekas pegawai penyiasat skandal kewangan 1MDB, R. Rajagopal.
Rajagopal memberikan keterangan pada perbicaraan terhadap Najib yang membela diri terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Perbicaraan bersambung esok. – MalaysiaGazette