KUANTAN – Gara-gara kurang peka untuk memberi laluan kepada siren kecemasan, seorang penunggang motosikal cedera dilanggar sebuah kereta peronda polis semalam.
Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisoner Wan Mohd Zahari berkata, mangsa Mohammad Fithri Mohd Zamri, 22, kini masih menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Menurutnya, ketika kejadian kereta peronda tersebut sedang mengiring orang yang disyaki (OYDS) dari arah Jalan Lim Hoe Lik menghala ke Balai Polis Kuantan dalam kejadian 5.40 petang Selasa.
Manakala mangsa pula menunggang motosikal dari arah Jalan Stadium menghala ke Jalan Bukit Sekilau.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan polis yang sedang bergerak lurus dengan membunyikan siren dan lampu mata arah, tiba-tiba sebuah motosikal yang datang dari arah kiri terlanggar kereta peronda.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke HTAA Kuantan. Dia cedera di kepala serta patah kaki kiri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelasnya, ketika kejadian, pengguna jalan raya memberi laluan kepada kenderaan MPV polis tersebut.
Susulan itu Wan Mohd Zahari menasihat orang awam khususnya pengguna jalan raya supaya lebih prihatin dan memberi kerjasama kepada semua pihak jika berlaku kecemasan.
Video Berkaitan
@malaysiagazette Gara-gara kurang peka untuk memberi laluan kepada siren kecemasan, seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan akibat melanggar sebuah kereta peronda polis pada semalam. Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisoner Wan Mohd Zahari berkata, mangsa Mohammad Fithri Mohd Zamri, 22, kini masih menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini. Menurutnya ketika kejadian kereta peronda tersebut dalam penugasan eskot orang yang disyaki (OYDS) dari arah Jalan Lim Hoe Lik menghala ke Balai Polis Kuantan dalam kejadian 5.40 petang Selasa. malaysiagazette kemalangan
“Nasihat saya kepada pengguna jalan raya untuk lebih peka dan memberi laluan kepada kenderaan polis, bomba dan ambulans ketika dalam penugasan mereka,” katanya.
Tambah Wan Mohd Zahari, kemalangan tersebut mengakibatkan kereta Honda Spanco milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu mengalami kerosakan di bahagian pintu depan, cermin pintu, dan cermin sisi sebelah kiri.
Kes masih dalam siasatan lanjut dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Terdahulu semalam tular video di media sosial memaparkan insiden berkenaan yang mendapat perhatian dan pelbagai reaksi netizen. – MalaysiaGazette