Anggota JPJ menahan sebuah lori untuk pemeriksaan dalam Ops HRA 2025 di Lebuh AMJ, dekat Bukit Piatu, Melaka, malam tadi.

MELAKA – Kepantasan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka telah berjaya menahan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan tayar pecah membawa 18 tan muatan batu sejauh 40 kilometer.

Timbalan Pengarah JPJ negeri, Khairul Aswad Abdul Halim berkata, pemandu lori berusia 40-an itu ditahan di Jasin di sini pada 27 Mac lalu sempena Ops Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025, yang bermula 24 Mac lalu dan berakhir malam tadi.

Khairul Aswad Abdul Halim

“Ketika ditahan, lori berkenaan dipercayai dipandu dalam keadaan tayarnya yang pecah dan botak sejauh 40 kilometer untuk menghantar muatan batu ke tapak binaan di Jasin.

“Sehubungan itu, tindakan akan dikenakan terhadap pemandu lori berusia 40-an serta syarikat terbabit dan lori telah dibawa ke Pejabat JPJ negeri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Anggota JPJ melakukan pemeriksaan dalam Ops HRA 2025 di Lebuh AMJ, dekat Bukit Piatu, Melaka, malam tadi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai operasi bersepadu selepas tamat Ops HRA 2025 di Lebuh Alor Gajah- Melaka- Jasin (AMJ) dekat Bukit Piatu, di sini malam tadi.

Menurut beliau, kesalahan itu adalah antara 2,380 notis daripada 1,720 tindakan yang dikenakan dalam pemeriksaan terhadap 20,797 kenderaan sepanjang ops berkenaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Anggota JPJ melakukan pemeriksaan dalam Ops HRA 2025 di Lebuh AMJ, dekat Bukit Piatu, Melaka, malam tadi.

“Daripada jumlah itu, 518 adalah kenderaan perdagangan termasuk bas ekspres dan sebanyak 273 saman dikeluarkan terhadap pemandu dan pemilik kenderaan atas pelbagai kesalahan jalan raya,” katanya lagi.

Sementara itu dalam operasi malam tadi, sebanyak 144 kenderaan dikenakan tindakan kerana melakukan 218 kesalahan daripada 1,548 kenderaan yang diperiksa.

Pada 27 Mac lalu, media melaporkan JPJ Pulau Pinang berjaya menahan seorang pemandu lori berusia 45 tahun yang memandu dari Taiping, Perak ke Perai dalam keadaan tayar lori kontena dipandunya pecah.

Malah, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati lelaki berkenaan berada di bawah pengaruh dadah ketika pemeriksaan dalam Operasi Khas HRA di Plaza Tol Juru. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here