kenderaan kerajaan Malaysia CPI budaya politik imigresen sempadan rakyat rasuah
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak mengamalkan kedaulatan badan kehakiman tetapi kedaulatan Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Artikel 4(1) termasuk dalam pelantikan hakim.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, Artikel 122B Perlembagaan dengan jelas memperuntukkan pelantikan hakim dibuat Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Ketua Hakim dan Majlis Raja-Raja.

Ujar beliau, ia merupakan satu amalan semak dan imbang yang tidak boleh diganti hanya dengan tafsiran sebelah pihak.

“Sehubungan itu, adalah tidak wajar dan tidak beretika untuk menggunakan pentas antarabangsa bagi membangkitkan rasa tidak puas hati peribadi terhadap keputusan eksekutif yang dibuat secara sah menurut Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang menyebut menghapuskan peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim boleh membantu mengikis persepsi wujudnya pengaruh politik terhadap badan kehakiman.

Berucap pada Persidangan Undang-undang Komanwel ke-24 di Malta, Tengku Maimun turut dipetik berkata, sejak kebelakangan ini, terdapat cadangan supaya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 dan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi mengeluarkan peranan Perdana Menteri dalam proses pelantikan hakim.

Sementara itu, Jais mengingatkan yang mana pelantikan Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara pada 2019 pernah dipersoalkan kerana beliau bukan hakim paling kanan (senior) ketika itu.

Sehubungan itu, katanya, adalah ironi apabila isu kekananan dijadikan hujah untuk membantah keputusan semasa.

“Kita tidak boleh mengubah prinsip ikut selera semasa atau apabila keadaan tidak memihak kepada kita,” katanya.

Dalam masa sama, Jais menekankan yang mana sesuatu pelantikan ke jawatan tinggi dalam badan kehakiman bukanlah satu hak mutlak, tetapi merupakan satu amanah.

Jelas beliau, pihaknya percaya mana-mana calon yang memiliki integriti, kelayakan dan rekod cemerlang wajar dipertimbangkan, termasuk suara rakyat yang diwakili oleh kerajaan melalui Perdana Menteri.

“Membayangkan bahawa hanya institusi kehakiman yang bebas daripada pengaruh politik juga satu dakwaan berat tanpa bukti, sedangkan badan itu sendiri tidak telus dalam proses penilaian calon,” katanya.

Tambah Jais, selepas pernah menjadi mangsa campur tangan eksekutif suatu ketika dahulu, pihaknya kini bimbang terdapat kecenderungan segelintir elit kehakiman untuk membina pengaruh tersendiri dalam badan kehakiman.

Jelasnya, tindakan itu boleh dilihat seolah-olah mencabar kuasa sah eksekutif dan memperlekeh institusi seperti Parlimen dan Kabinet, yang mana juga satu bentuk penyalahgunaan kuasa yang perlu ditegur.

“MCW menggesa semua pihak menghormati semangat Perlembagaan dan menolak sebarang cubaan mewujudkan naratif seolah-olah hanya satu pihak yang suci dan kebal daripada kritikan.

“Kebebasan kehakiman mesti disandarkan kepada integriti, ketelusan dan akauntabiliti, bukan dibentuk atas kepentingan peribadi atau kelompok tertentu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here