KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan yang ditahan kerana dipercayai membuat ugutan jenayah terhadap pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) direman selama dua hari bagi membantu siasatan.
Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa menerusi kenyataan ringkas malam tadi.
Dalam kenyataannya, Rusdi memaklumkan, suspek berusia 57 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada pukul 12.10 pagi semalam susulan laporan yang diterima daripada pegawai penguatkuasa DBKL.
Katanya, laporan polis dibuat pukul 1.07 tengahari kelmarin berhubung satu hantaran di laman Facebook membabitkan tangkap layar perbualan kumpulan WhatsApp yang mengandungi ugutan dan hasutan terhadap penguat kuasa DBKL.
“Pengadu menyatakan kandungan perbualan itu berunsur ancaman dan hasutan dengan niat terhadap penjawat awam yang menjalankan tugas menguatkuasakan undang-undang,” jelasnya.
Beliau menegaskan, kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Polis mengingatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat yang boleh menggugat ketenteraman awam atau keselamatan mana-mana pihak. – MalaysiaGazette