Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir Foto HARI ANGGARA, 25 FEBRUARI 2025

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir bersama Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Turkiye, Profesor Erol Özvar bersama-sama mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Malaysia–Türkiye berkaitan pendidikan tinggi.

Penganjuran mesyuarat jawatankuasa pertama itu adalah berdasarkan kepada komitmen bersama kedua-dua negara untuk memperkukuh dan mempelbagaikan bentuk kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi.

Katanya, antara agenda penting yang telah dicapai adalah penubuhan Jawatankuasa Kerja Khas Bersama yang terdiri daripada wakil-wakil pegawai kanan kedua-dua negara; pelaksanaan pembiayaan bersama projek penyelidikan dalam bidang-bidang strategik yang telah dikenal pasti; serta latihan dan pembangunan kapasiti untuk pegawai kerajaan, pensyarah, penyelidik dan pelajar dari kedua-dua negara.

Selain itu, kedua-dua negara juga bersetuju untuk mengadakan perbincanga lanjut mengenai penawaran biasiswa agar dapat dimanfaatkan secara lebih berkesan oleh pelajar Malaysia dan Türkiye; mengenal pasti bidang tumpuan untuk kerjasama bersama termasuk program akademik dan penyelidikan; dan emperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta institusi politeknik dengan tumpuan kepada bidang kemahiran utama yang menjadi keutamaan Malaysia dan Türkiye seperti bidang maritim, kejuruteraan dan teknologi.

Mereka juga bersetuju untuk menyemak semula Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani sebelum ini bagi memastikan keberkesanan dan kesesuaian pelaksanaannya; dan persetujuan untuk mengadakan mesyuarat ini secara tahunan, dengan penganjuran secara bergilir antara kedua-dua negara. Malaysia akan menjadi tuan rumah pada tahun 2026.

“Penganjuran mesyuarat jawatankuasa bersama ini merupakan satu lembaran baharu dalam usaha memperkukuh hubungan strategik antara Malaysia dan Türkiye dalam pendidikan tinggi.

“Kementerian yakin bahawa langkah ini akan membuka lebih banyak peluang kolaborasi berimpak tinggi, termasuk pemindahan ilmu, penyelidikan bersama, dan pembangunan bakat pada skala global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zambry, mesyuarat yang berlangsung bersempena Sidang Kemuncak Pendidikan Tinggi Eurasia (EURIE) 2025 di Istanbul ini turut disertai oleh barisan pengurusan tertinggi pendidikan tinggi Malaysia dan Türkiye, termasuk beberapa Naib Canselor dan Rektor universiti dari kedua-dua negara.

Terdahulu katanya, beliau turut menyampaikan ucaptama dalam Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Pendidikan Tinggi Eurasia (EURIE) 2025 dan menyentuh tentang pentingnya kerjasama serta kolaborasi pendidikan tinggi pada masa kini.

Sempena majlis itu juga, Zambry bersama Profesor Erol turut menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan Surat Hasrat (LoI) antara institusi Malaysia dan Türkiye, iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Universiti Ondokuz Mayis, Samsun dan Universiti Istanbul Gedik; Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Universiti Kocaeli dan Universiti Hacettepe; serta surat hasrat (LoI) antara Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan Universiti Karabuk dan Universiti Teknikal Istanbul. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here