Thursday, April 17, 2025
Home Sukan Manchester United kembali ke Malaysia selepas 16 tahun

Manchester United kembali ke Malaysia selepas 16 tahun

Foto media sosial Manchester United.

KUALA LUMPUR – Juara 13 kali Liga Perdana Inggeris, Manchester United akan kembali ke Malaysia selepas 16 tahun dalam siri jelajah pascamusim bulan depan.

Kelab popular itu dijadualkan menentang pasukan ASEAN All-Stars pada 28 Mei di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selepas itu, skuad The Red Devils akan berlepas ke Hong Kong untuk menentang pasukan kebangsaan negara berkenaan di Stadium Hong Kong pada 30 Mei.

Menurut kenyataan kelab itu, dua perlawanan yang dibawakan oleh Snapdragon dan dianjurkan ProEvents adalah jelajah pascamusim pertama dalam era moden kelab berkenaan serta menandakan kepulangan mereka ke Asia selepas kemenangan 4-0 ke atas Liverpool di Bangkok pada Julai 2022.

“Kali terakhir kelab ini berkunjung ke Kuala Lumpur adalah pada tahun 2009 dan ke Hong Kong pada tahun 2013, namun hubungan antara Manchester United dan jutaan peminat setia di seluruh Asia kekal utuh seperti dahulu.

“Ketika pasukan utama lelaki sah akan menyertai Siri Musim Panas Liga Perdana Inggeris di Amerika Syarikat (AS) menjelang musim 2025/26, perlawanan pada bulan Mei ini memberikan peluang unik kepada para pemain dan kakitangan untuk berinteraksi secara langsung dengan peminat di Asia.

“Selain itu, kelab juga berpeluang mengeratkan kerjasama dengan rakan niaga komersial yang penting di rantau ini,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Manchester United, Omar Berrada berkata, mereka berbesar hati dapat menyediakan jadual yang memberi peluang kepada peminat di Asia, negara Scandinavia dan AS untuk berhubung dengan kelab sekali gus menyaksikan pasukan utama lelaki beraksi secara langsung di lokasi tempatan.

“Paling penting, jelajah ini menjana pendapatan tambahan yang signifikan, membantu mengukuhkan kelab dan membolehkan kami terus melabur demi kejayaan di atas padang.

“Ia juga mewujudkan peluang unik untuk kami bekerjasama dengan rakan niaga komersial yang dihargai serta mengeratkan hubungan dengan peminat di rantau seperti Asia dan AS,” katanya.

Selepas jelajah Asia, Manchester United akan menentang Leeds United di Stockholm pada 19 Julai sebelum berlepas ke AS untuk Siri Musim Panas Liga Perdana Inggeris menentang West Ham United pada 26 Julai ini, diikuti Bournemouth (30 Julai) dan Everton pada 3 Ogos depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast