Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette A. Samad berjalan keluar dari mahkamah selepas selesai menghadiri hari pertama perbicaraan kes percubaan rasuah dengan bernilai RM 2.8 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 JANUARI 2020 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini membenarkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad menangguhkan keterangan bela diri berhubung pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta yang dihadapi mereka.

Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan tidak membantah permohonan penangguhan yang dikemukakan pasangan tersebut. Kedua-duanya sepatutnya mula membela diri hari ini.

Sehubungan itu, mahkamah menjadualkan semula perbicaraan bermula 18 hingga 20 Ogos, 2 hingga 4 September dan 24 hingga 26 September ini.

Hakim berkenaan turut melapangkan tarikh-tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu pada 9 hingga 11 April, 14 dan 15 April serta 5 dan 6 Mei 202.

Pada prosiding itu, Bung Moktar dan isterinya mahukan supaya keterangan bela diri ditangguhkan sementara menunggu pelupusan permohonan tertuduh untuk menyemak perintah Mahkamah Rayuan agar mereka membela diri, dilupuskan.

Peguam M. Athimulan memaklumkan, kedua-dua pihak telah memasukkan hujahan dan permohonan penangguhan tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Law Chin How yang mengendalikan kes itu bersama TPR Mohamad Fadhly Mohd Zamry berkata, permohonan semakan telah ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Rayuan pada 11 April.

Mahkamah Rayuan pada 18 November tahun lalu memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan pasangan itu yang diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada 7 September 2023.

Pada 2 September 2022, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tiga pertuduhan rasuah itu, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.

Bung Moktar, 65, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019, dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 dan 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Zizie Izette menghadapi tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminhya dalam melakukan kesalahan yang didakwa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast