KUALA LUMPUR – Pemuda MCA akan memberi tumpuan dalam memastikan seramai mungkin pengundi berdaftar khususnya masyarakat Cina keluar mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, 26 April depan.
Ketua Penerangannya, Neow Choo Seong berkata, kira-kira 21 peratus pengundi berdaftar PRK DUN Ayer Kuning daripada keseluruhan 66,318 pemilih merupakan pengundi berketurunan Tionghua.
Jelas beliau, Pemuda MCA ketika ini juga sudah bersiap sedia sepenuhnya membantu memenangkan calon BN yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir pada PRK tersebut.
“Parlimen Tapah adalah kubu kuat BN. Pendekatan yang akan digunakan oleh Pemuda MCA semasa tempoh berkempen kelak semestinya untuk menyakinkan para pengundi agar memilih calon yang dapat mewakili dan berkhidmat untuk rakyat di Ayer Kuning secara inklusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Choo Seong yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda BN, pihaknya yakin calon BN yang dipilih oleh kepimpinan tertinggi itu mampu meraih kemenangan.
Namun, ujar beliau, ia perlu disusuli dengan usaha keras daripada jentera di semua peringkat.
Dalam masa sama, tambahnya, Pemuda MCA juga sudah bersiap sedia untuk menghadapi ‘peperangan’ media sosial, termasuk menangkis segala serangan daripada pihak lawan sepanjang tempoh berkempen akan datang.
“Namun, jentera BN sentiasa diingatkan jangan terlalu leka dan ‘over confident’ sehingga lupa akan perkara pokok.
“Kita perlu memastikan semua pengundi keluar mengundi dan menjadikan calon BN sebagai pilihan utama mereka,” katanya.
Buat masa ini, tambah beliau, Pemuda MCA bersama Pemuda BN yang dipimpin Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh giat merangka serta menjalankan pelbagai aktiviti khususnya mendekati golongan muda di Ayer Kuning.
“Kita mahu suara anak muda sentiasa didengari oleh pucuk pimpinan sama ada di peringkat tempatan, negeri mahupun nasional,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning akan diadakan pada 26 April ini susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung.
Pada PRU-15, Ishsam yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,213 undi selepas memperoleh 9,088 undi dalam pertandingan lima penjuru menewaskan calon Pakatan Harapan (6,875), Perikatan Nasional (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586). – MalaysiaGazette