Kawasan pencawang elektrik TNB di Taman Bandar Tiram, Johor Bahru yang menimbulkan kebimbangan penduduk setempat.

JOHOR BAHRU – Seramai 250 penduduk daripada 190 rumah berhampiran pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Bandar Tiram di sini bimbang dengan struktur tanah di kawasan berkenaan.

Mereka yang mendiami tiga blok di kediaman tersebut risau dengan keselamatan kerana keadaan tanah di kawasan pencawang tersebut akan terhakis sekali gus berisiko terutama semasa hujan.

Situasi tersebut sehingga mengakibatkan video memaparkan keadaan di kawasan pencawang itu tular sejak beberapa hari lalu menunjukkan pencawang tersebut seolah-olah berada di tepi cerun yang curam.

Pengerusi Badan Pengurusan Seri Baiduri Bandar Tiram, Mohd Kamarulzaman Azizan berkata, kebimbangan penduduk bukan dibuat-buat dan perkara itu berasas.

“Kedudukan pencawang ini dilihat tidak jauh dari cerun, ia menimbulkan kebimbangan kami terutama selepas insiden letupan di Putra Heights di Subang baru-baru ini.

“Ada penduduk di kawasan ini mengambil gambar yang mana kedudukan pencawang elektrik dan cerun dilihat sangat hampir. Apabila gambar tersebut tular dalam Facebook, ramai mula panik.

“Kami risau jika berlaku tanah runtuh atau cerun mendap, lebih-lebih lagi bila hujan lebat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bandar Tiram hari ini.

Hantaran video dan gambar keadaan tanah berhampiran pencawang elektrik yang tular itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse.

Beliau membuat lawatan ke tapak pencawang elektrik tersebut hari ini bersama-sama pihak kontraktor.

Wee Tse berkata, hasil pemeriksaan mendapati jarak antara pencawang dan hujung cerun adalah 25 meter iaitu melebihi jarak minimum yang ditetapkan iaitu 20 meter.

Katanya, sudut rakaman gambar tular menyebabkan ia kelihatan seolah-olah pencawang dibina terlalu hampir dengan cerun hingga menimbulkan kebimbangan penduduk.

“Sebagai langkah proaktif menangani kebimbangan penduduk, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah mengarahkan pemaju mengambil tindakan segera termasuk memasang kanvas penahan hakisan di cerunan dan penempatan struktur shippart sepanjang 15 meter.

“Saya juga telah meminta pihak pemaju untuk memulakan kerja-kerja pembinaan stuktur penahan konkrit dalam bulan ini dan menjangka ia akan siap dalam tempoh masa enam minggu,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast