Salah satu aksi menarik dirakam lensa kamera ketika Sri Pahang menundukkan KDAFC 6-0. foto Sri Pahang FC

TEMERLOH – Perubahan positif Sri Pahang FC pada babak kedua permainan menjadi titik tolak buat skuad itu untuk meraih kemenangan besar ke atas Kedah Darul Aman FC pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh di sini malam tadi.

Ketua Jurulatihnya Fandi Ahmad berkata, beliau pada mulanya agak risau menyaksikan persembahan pasukan kendaliannya pada separuh masa pertama yang dilihat agak tertekan dan melakukan beberapa kesilapan mudah.

“Pada babak pertama ia agak mengerikan dan jika mereka (pasukan lawan) boleh menjaringkan gol mungkin keputusan ini berbeza.

“Tetapi di separuh masa kedua, permainan Sri Pahang meningkat … pemain kita lebih fokus, bahagian hadapan sangat tajam dan hantaran yang baik dapat dilakukan,” katanya pada sidang media sejurus tamat perlawanan.

Bekas pemain kebangsaan Singapura itu berkata, perubahan positif itu turut dipengaruhi percaturan dilakukannya yang menggantikan beberapa pemain pada babak kedua.

“Kita membuat pertukaran dengan memasukkan pemain baharu seperti Nor Azam Azih dan Mohamad Saiful Jamaluddin apabila mendapati terdapat penurunan prestasi di posisi itu.

“Kita juga memasukkan Manuel Federico Hidalgo untuk menguatkan jentera serangan sehingga membolehkan Sri Pahang mencatat kemenangan besar ini,” katanya.

Beliau berkata, kemenangan yang memberikan tiga mata penuh itu juga selari dengan fokus kelabnya kini iaitu memperbaiki kedudukan dalam Liga Super dan pada masa sama, memberi saingan sengit kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk merebut Piala Malaysia.

Pengendali Kedah Darul Aman FC Victor Andrag pula berkata situasi mungkin berlainan jika anak buahnya berjaya menterjemahkan beberapa peluang keemasan pada separuh masa pertama kepada jaringan.

“Kita tidak menggunakan sebaik-baiknya peluang yang ada dan kemudian pemain telah melakukan beberapa kesilapan sehingga dibolosi dua kali.

“Pada separuh masa kedua pula, saya lihat ramai pemain sudah keletihan walaupun mereka tidak mengalah,” katanya.

Dalam persaingan semalam, Skuad Sri Pahang FC berpesta gol apabila membelasah Kedah Darul Aman (KDA) FC 6-0 pada saingan Liga Super. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here