KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan melaksanakan proses pengundian bagi Pemilihan Cabang 2025 secara berperingkat mengikut negeri bermula 11 hingga 20 April ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr Dr Zaliha Mustafa dalam kenyataan hari ini memaklumkan, seramai 16,878 calon telah disahkan bertanding bagi pelbagai jawatan di 222 cabang, manakala 31 cabang tidak menyaksikan sebarang pertandingan di peringkat jawatankuasa cabang.
“Jumlah ini mencerminkan penyertaan aktif anggota dalam memperkukuhkan struktur parti di peringkat akar umbi. Proses pemilihan kali ini turut menyaksikan jumlah pengundi berdaftar yang menggalakkan, mencapai sehingga 296,403 anggota layak mengundi,” kata Dr Zaliha.
Daripada jumlah itu, sejumlah 8,040 daripadanya memilih untuk mengundi secara fizikal manakala selebihnya akan menggunakan saluran dalam talian menerusi aplikasi ADIL.
Bagi memastikan kelancaran proses, semua urusan pengundian secara fizikal dikendalikan oleh syarikat pengurusan acara profesional yang dilantik.
Tambah Dr Zaliha lagi, pusat pengundian akan dibuka di seluruh negara dan bagi cabang dengan jumlah pengundi fizikal yang kecil, penggabungan pusat pengundian akan dilaksanakan secara strategik.
Menariknya, PKR menjadi parti politik pertama di Malaysia yang memperkenalkan teknologi blockchain dalam proses pemilihan.
Teknologi itu diguna pakai bagi menjamin ketulenan data dan integriti proses pengundian dalam talian.
“Pengundi atas talian perlu melalui proses pengesahan identiti menggunakan OTP serta pengecaman wajah, manakala pengundi fizikal perlu membawa kad pengenalan dan melalui pengesahan cap jari,” tambah Dr Zaliha lagi. – MalaysiaGazette