KUALA LUMPUR – Seorang peguam, Shamsher Singh Thind turut senada dengan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat supaya Perdana Menteri tidak sepatutnya mempunyai sebarang peranan dalam pelantikan hakim.
Dalam masa sama, ujar beliau, Perdana Menteri juga tidak sepatutnya mempunyai sebarang peranan dalam pelantikan Ketua Polis Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Selain itu, kata Shamsher Singh yang juga bekas ahli DAP, Perdana Menteri juga tidak sepatutnya mempunyai sebarang peranan dalam pelantikan Peguam Negara.
“Atau sekiranya Perdana Menteri mahu melantik Peguam Negara pilihannya, maka Peguam Negara berkenaan harus dilucutkan kuasa untuk bertindak sebagai Pendakwa Raya.
“Perdana Menteri tidak boleh mempunyai sebarang kuasa dalam pelantikan Pendakwa Raya,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook hari ini.
Menurut Shamsher Singh, selagi sistem keadilan jenayah tidak dibenarkan berfungsi secara bebas tanpa dipengaruhi kuasa Perdana Menteri, kerajaan dibimbangi akan terus menggunakannya sebagai senjata khususnya terhadap pembangkang tanpa pengecualian.
Media sebelum ini melaporkan kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang menyebut menghapuskan peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim boleh membantu mengikis persepsi wujudnya pengaruh politik terhadap badan kehakiman.
Berucap pada Persidangan Undang-undang Komanwel ke-24 di Malta, Tengku Maimun turut dipetik berkata, sejak kebelakangan ini, terdapat cadangan supaya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 dan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi mengeluarkan peranan Perdana Menteri dalam proses pelantikan hakim. – MalaysiaGazette