KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Bhd (PNB) sedang mempertimbangkan untuk melepaskan pegangannya dalam pelaburan legasi, membolehkannya mengukuhkan kelas aset lain termasuk pendapatan tetap, kata Timbalan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Rick Ramli.
Beliau berkata syarikat pengurusan dana telah melepaskan pelaburan dalam syarikat utama seperti Unilever dan Akzo Nobel, dengan pelan untuk melupuskan pelaburan seterusnya.
“Pada tahun 80-an dan 90-an, apabila kita memerlukan rakan kongsi tempatan, mereka memilih untuk bekerjasama dengan PNB. Oleh itu, kami memiliki pegangan 30 peratus hingga 49 peratus dalam banyak syarikat. Ini adalah pegangan minoriti, tanpa kawalan dan sukar untuk dilupuskan.
“Sebahagiannya agak rumit tetapi pembeli yang sesuai untuk pegangan ini biasanya ialah pihak utama yang memegang baki 51 peratus hingga 70 peratus,” katanya pada perbincangan panel pada Persidangan Pelaburan ASEAN (AIC) 2025 hari ini.
AIC 2025 diadakan bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 serta mesyuarat-mesyuarat berkaitan di sini.
Perbincangan itu diterajui oleh Pengarah Bebas Bukan Eksekutif CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan dan disertai oleh Ketua Pegawai Pelaburan Khazanah Nasional Bhd Datuk Hisham Hamdan dan Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) Hazman Hilmi Sallahuddin.
Rick menegaskan PNB turut komited untuk meningkatkan prestasi korporat Malaysia, dengan matlamat menjadikan negara lebih menarik kepada pelabur tempatan dan antarabangsa.
Beliau berkata pasaran persendirian masih agak baharu di Malaysia tetapi ia merupakan aspek penting dalam rantaian nilai untuk dibangunkan dan dibina.
Katanya PNB giat menyusun semula portfolionya apabila ia melepaskan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) kepada Malaysia Building Society Bhd (MBSB).
— BERNAMA