Kesan wayar kabel signal link telah dipotong.

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima laporan cubaan mencuri wayar kabel perkhidmatan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superitendan Shan Gopal Krishnan berkata, aduan diterima dari petugas keselamatan Pusat Kawalan Udara ERL Salak Tinggi pukul 9.33 pagi semalam yang menyatakan terdapat gangguan signal.

Katanya, semakan mendapati terdapat wayar kabel signal link telah dipotong, namun tiada kehilangan wayar kabel.

“Kerosakan yang dialami dianggarkan lebih kurang RM12,000 dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 431A/447 kanun keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Superitendan Shan Gopal Krishnan

Shan Gopal menegaskan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang kini dalam tindakan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

Jelanya, usaha turut dilaksanakan dengan menyerbu serta melakukan pemeriksaan proaktif di beberapa premis besi buruk bagi memastikan tindakan susulan yang lebih efektif dapat diambil.

Katanya, polis IPD Sepang komited untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.

Pagar premis yang dipotong dalam cubaan mencuri wayar kabel perkhidmatan ERL semalam.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau penyaluran maklumat tidak tepat berkaitan kejadian tersebut.

Beliau turut menggesa agar sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, sarjan Hishamuddin Amin ditalian 011-11739477 bagi membantu siasatan.

Semalam, ERL mengesahkan berlaku kejdian vandalisme apabila kabelnya di KM48.5, antara stesen Salak Tinggi dan Terminal 1 KLIA, dipotong pada pukul 6.20 pagi.

Susulan itu, perkhidmatan KLIA Ekspress dan KLIA Transit digabungkan pada pukul 6.58 pagi dari Terminal 2 KLIA dan pukul 7 pagi dari KL Sentral.

Perkhidmatan tren disambung semula semalam pada pukul 10 pagi dari KL Sentral dan pukul 9.48 pagi dari Terminal 2 KLIA.

Dalam hantarannya pada awal pagi ini, ERL memaklumkan pihaknya masih membaiki sistem isyarat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here