P.Ramasamy

KUALA LUMPUR – Rakyat yang tidak berpuas hati dengan situasi semasa pentadbiran Kerajaan Pusat hari ini boleh menggunakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning untuk menzahirkan perasaan mereka.

Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy berkata, orang Melayu misalnya, perlu menggunakan PRK itu sebagai tanda protes terhadap Kerajaan Perpaduan khususnya berhubung kerjasama UMNO bersama Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Pengundi Cina pula, kata beliau, yang kini tidak mempunyai parti alternatif lebih berkredibiliti selepas DAP memilih bekerjasama dengan UMNO boleh menunjukkan bantahan menerusi PRK tersebut.

“Sementara itu, komuniti India mesti mengambil pendirian tegas.

“Sudah tiba masanya untuk mereka melepaskan diri daripada naungan politik MIC dan menolak untuk menyokong gabungan pemerintah.

“Sebagai alternatif, mereka harus memberikan undi kepada calon yang benar-benar mencerminkan keprihatinan mereka, apatah lagi mereka telah lama menanggung penghinaan berulang dan pengabaian sistematik,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Ramasamy yang juga bekas pemimpin DAP dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, PRK Ayer Kuning bukan sekadar tentang memilih wakil rakyat.

Sebaliknya, kata beliau, ia merupakan peluang terbaik untuk menghantar mesej yang jelas serta lantang kepada kerajaan hari ini atas tekanan ekonomi serta kestabilan hidup yang ditanggung mereka.

“Mereka yang menjadi `penjilat’ dalam MIC, DAP dan PKR, yang telah menggadai maruah komuniti demi keselesaan politik, mesti dipertanggungjawabkan.

“Mereka mesti diberikan satu pengajaran yang tidak akan dilupakan menerusi peti undi,” katanya.

Menjelang penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning Sabtu ini, tiga calon sudah mengesahkan merebut kerusi itu iaitu Dr. Mohamad Yusri Bakir daripada Barisan Nasional; Abd Muhaimin Malek (Perikatan Nasional) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).

PRK DUN Ayer Kuning akan diadakan pada 26 April ini susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU-15, Ishsam yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,213 undi selepas memperoleh 9,088 undi dalam pertandingan lima penjuru menewaskan calon Pakatan Harapan (6,875), Perikatan Nasional (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586). – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here