Gambar Hiasan

KULAI – Polis menahan seorang remaja lelaki kerana disyaki terlibat menyunting gambar lucah menggunakan wajah wanita yang dijadikan mangsa dan menularkannya menerusi media sosial untuk dijual kepada orang awam.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, kes itu terbongkar selepas seorang remaja tempatan berusia 18 tahun membuat laporan polis selepas mendapati wajahnya digunakan dalam gambar lucah yang tular.

“Pengadu telah membuat laporan polis pada Khamis lalu setelah mendapati gambar lucah yang telah disunting menggunakan gambar mukanya telah tular di media sosial.

“Pengadu turut memaklumkan gambar-gambar lucah itu turut cuba dijual secara atas talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai berjaya menahan suspek berusia 16 tahun di daerah ini kira-kira pukul 5 petang semalam.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk menyunting dan memuat naik gambar-gambar lucah mangsa ke dal media sosial.

Suspek yangmasih bersekolah itu menjual gambar yang telah disunting itu dengan harga RM2 sekeping.

“Hasil soal siasat awal mendapati suspek telah menyunting gambar-gambar tersebut dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) berdasarkan gambar-gambar yang diperoleh dari akaun media sosial mangsa,” ujarnya.

Katanya, suspek kini direman selama empat hari bermula hari bagi hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan lanjut.

Setakat ini sebanyak lapan laporan polis telah diterima daripada mangsa lain yang turut terkesan dengan kegiatan suspek.

Kes disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan gambar-gambar mangsa di media sosial atau membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menimbulkan kegusaran awam,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang terlibat dalam kes seumpama itu diminta tampil membuat laporan polis di balai berhampiran untuk tindakan lanjut.

Sebarang maklumat berkaitan kes boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Nurul Huda Shohodin di talian 013-5382698.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here