Timbalan Menteri Agama, Senator Zulkifli Hasan

KUALA LUMPUR – Umat Islam tidak wajar mempermainkan takbir raya atas nama gurauan semata-mata perbezaan ideologi politik.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, takbir Raya adalah tanda keinsafan serta pengagungan kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala atas segala nikmat-Nya.

Malah ia merupakan antara amalan sunnah ketika sambutan Aidilfitri berdasarkan firman Allah “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah: Ayat 185).

Hadis riwayat Anas pula menyatakan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa-sallam bersabda: “Hiasilah Hari Raya kamu dengan bertakbir.”

“Bukan semua perkara perlu dibangkang; bukan semua benda boleh dijadikan bahan sindiran dan gurauan sinikal.

“Kritiklah dengan fakta jika ada perkara yang tidak dipersetujui, bicaralah dengan hujah yang benar – dan dikaji secara bersungguh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkifli merujuk kepada beberapa video yang menggunakan rakaman suara Takbir Raya Aidilfitri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana audionya telah disunting dan dijadikan bahan gurauan pihak yang tidak bertanggung jawab.

Tambahnya, berbeza pandangan tidak salah namun jangan sampai menghina, mengaib dan memfitnah.

Apatah lagi mengaitkan amalan buruk tersebut dengan kesucian nama Allah serta ketinggian Islam sebagai agama yang dicintai.

“Sewaktu Takbir Raya, kita menzahirkan pengharapan agar Allah Subhanahu wa-Ta’ala membantu kita semua dalam menghancurkan musuh-musuh-Nya.

“Melaungkan Takbir Raya sewajarnya dilihat dari aspek penghayatan dan simbolik keindahan amalan tersebut – bukan sejauh mana kemerduan atau kelunakan suara sesiapa juga yang melakukannya.

“Bertaqwalah – kerana Allah tidak melihat selucu atau setular mana bahan kandungan yang kita muat naik ke media sosial kita – sebaliknya iman dan taqwa kita yang menjadi pengukur amalan di Akhirat kelak.

“Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar! La ilaha illa Allah, Allahu Akbar, Allahu Akbar walillahil hamd!”

“Doakan Islam terus subur, mekar dan terjalin di bumi Malaysia,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here