PUTRAJAYA – Satu keputusan akan diumumkan oleh kerajaan berhubung keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkenaan tarif timbal balik 24 peratus ke atas import dari Malaysia.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu berdasarkan kepada satu mesyuarat Mesyuarat Khas Menteri Ekonomi ASEAN yang akan diadakan esok dan mesyuarat National Geoeconomic Command Center (NGCC) Isnin depan.
“Maka pada hari Isnin kita (kerajaan) akan buat beberapa keputusan sebelum kita meminta rombongan bagi tujuan diplomasi dan juga perbincangan perdagangan dengan AS dihantar ke Washington.
“Tarikh tepat belum boleh saya sebut di sini tapi semua tertakluk kepada keputusan dan kelulusan jemaah menteri hasil daripada mesyuarat esok dan juga mesyuarat Isnin ini adalah sebahagian daripada langkah proaktif pihak kerajaan sebagai Pengerusi ASEAN,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi hari ini.
Fahmi berkata, satu mesyuarat akan diadakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersama-sama menteri-menteri ASEAN atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 di bawah Tonggak Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

Tengku Zafrul sebelum ini berkata, mesyuarat tersebut dijangka membincangkan implikasi lebih meluas akibat daripada langkah-langkah tarif AS ke atas aliran perdagangan dan pelaburan serantau dan kestabilan makroekonomi.
Dalam perkembangan sama, Fahmi memaklumkan satu perbincangan akan turut diadakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan ketua-ketua negara ASEAN berhubung keputusan berkenaan.
“Hasil daripada mesyuarat esok antara menteri-menteri Perdagangan ASEAN dan juga perbincangan Perdana Menteri bersama ketua-ketua negara ASEAN maka keputusan akan dibuat,” katanya lagi.
Untuk rekod, negara-negara anggota wilayah Indo-Cina ASEAN paling teruk terjejas oleh tarif tersebut, dengan Kemboja dikenakan tarif asas dan timbal balik berjumlah 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), (Vietnam 46 peratus) dan Myanmar (44 peratus).
Manakala Thailand dikenakan tarif 36 peratus, Indonesia 32 peratus, Brunei dan Malaysia kedua-duanya pada 24 peratus, Filipina 17 peratus dan Singapura pada tarif asas 10 peratus.
Menurut dokumen dari Rumah Putih bertarikh 2 April 2025, tarif 10 peratus ke atas semua negara akan berkuat kuasa pada 5 April 2025 manakala tarif timbal balik individu yang lebih tinggi ke atas negara yang AS mempunyai defisit perdagangan terbesar akan berkuat kuasa pada 9 April 2025.
Semua negara lain akan terus tertakluk kepada asas dasar tarif 10 peratus asal, kata dokumen itu. – MalaysiaGazette