KENYATAAN media Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkenaan isu bekas ahli sertai semula parti itu.

KUALA LUMPUR – UMNO Sabah sentiasa mengalu-alukan mana-mana bekas ahli itu yang mahu menyertai semula parti berkenaan.

Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, kepulangan itu bukan sahaja mencerminkan kekuatan UMNO malah memperkukuh tekad parti tersebut untuk terus mara bersama demi rakyat dan negeri Sabah.

Jelasnya, ia juga selari dengan seruan Bendahari UMNO, Datuk Seri Salleh Keruak Said yang menegaskan ketika ini merupakan masa terbaik untuk semua pihak kembali semula di bawah panji UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Seruan ini jelas iaitu hanya UMNO dan BN terbukti mampu mengembalikan kestabilan politik negara yang sekian lama terjejas, di samping menjamin kesinambungan pembangunan yang mampan dan inklusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai pengumuman bekas Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Abdul Kadir Abdullah Damsal yang meletak jawatan semalam dan menyertai semula UMNO.

Abdul Kadir merupakan ahli UMNO sejak 1994 namun keluar daripada parti itu untuk menyertai Bersatu pada 2018.

Bagaimanapun beliau menyerahkan surat keluar Bersatu kepada Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee pada 14 Julai tahun lalu.

Dalam pada itu, Jafry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau berkata, rakyat sebelum ini sudah melihat bagaimana perpecahan yang berlaku akibat pergeseran politik yang bukan sahaja merugikan mereka malah negara.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak menghentikan segala perbezaan dan kembali memperkukuh saf perjuangan.

“UMNO Sabah juga menjemput sahabat-handai yang pernah bersama untuk kembali ke pangkuan UMNO,” katanya.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here