KUALA LUMPUR – Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 didakwa tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan kerana ia melanggar doktrin pengasingan kuasa dengan membenarkan badan Eksekutif mencampuri pelantikan hakim.
Akta berkenaan diangggap mengganggu keseimbangan pengasingan kuasa dan kebebasan kehakiman apabila urusan pelantikan hakim dipengaruhi Perdana Menteri.
“Kuasa pelantikan kehakiman di bawah akta berkenaan bertentangan secara langsung dengan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan,” demikian antara alasan yang terkandung dalam permohonan seorang peguam yang mencabar keabsahan akta berkenaan.
Alasan itu diikarkan dalam afidavit sokongan Syed
Amir Syakib Arsalan Syed Ibrahim dalam saman pemula yang difailkannya di Mahkamah Tinggi di sini, dua hari lalu.
Saman pemula itu difailkan melalui Tetuan Syed Ibrahim & Co, dengan menamakan Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.
Dalam saman pemula itu, Syed Amir turut memohon penangguhan sementara bagi semua pelantikan hakim sementara menunggu pelupusannya.
Beliau memohon perintah mandamus yang memaksa Perdana Menteri dan kerajaan mematuhi secara ketat proses pelantikan kehakiman yang ditetapkan di bawah Perkara 122B.
Perkara 122B menyatakan hakim dan semua pemegang jawatan pentadbiran hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Suruhanjaya itu mencadangkan pencalonan hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, selain mengesyorkan calon untuk jawatan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak jika terdapat kekosongan.
Sementara itu, FMT melaporkan, salinan kertas kausa diserahkan kepada kerajaan dan JAC hari ini manakala pengurusan kes ditetapkan pada 22 April ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, usaha pentadbirannya untuk reformasi pelantikan kehakiman akan diteruskan meskipun Akta JAC dicabar oleh peguam berkenaan.
Anwar berkata, kerajaan mempertahankan kesahan akta itu, namun menghormati proses undang-undang dan tidak akan campur tangan berhubung permohonan semakan kehakiman itu. – MalaysiaGazette