KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat mendakwa terdapat gerakan terancang membawa masuk ahli parti lain bagi mempengaruhi pemilihan Cabang PKR Selayang yang akan berlangsung Sabtu ini.
Beliau yang merupakan calon Ketua Cabang PKR Selayang berkata, seorang individu telah didaftarkan sebagai ahli PKR pada 24 Oktober tahun lalu merupakan Ketua Bahagian MIC Selayang berdasarkan semakannya.
Menurutnya, fakta itu sangat mengejutkan dan membimbangkan memandangkan proses pendaftaran sebagai anggota PKR bukan sesuatu yang mudah atau boleh dilakukan secara cuai.
Sebaliknya proses itu melibatkan pengesahan melalui sistem eKYC, termasuk memuat naik gambar kad pengenalan dan pengesahan wajah secara langsung (live photo).
“Maka adalah jelas bahawa pendaftaran ini dilakukan dengan pengetahuan dan kerelaan pihak berkenaan.
“Tindakan ini bukan satu kes terpencil. Campur tangan seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan parti luar yang cuba mengambil kesempatan terhadap sistem dalaman parti kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lebih membimbangkan, tambah Wei Kiat, tidak diketahui berapa ramai lagi anggota MIC yang telah menyusup masuk ke dalam PKR melalui kaedah yang sama.
Ujarnya, ia menimbulkan kebimbangan serius wujud satu operasi yang lebih besar dan tersusun dari luar untuk menggugat kestabilan parti dari dalam.
“Sehubungan itu, saya telah membuat laporan polis dan akan membuat aduan rasmi kepada pimpinan pusat KEADILAN dan MIC agar siasatan segera dapat dilakukan.
“Semua pihak yang terlibat dalam operasi ini mesti diambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Tambahnya, semua ahli PKR mesti memastikan proses pemilihan parti itu berjalan secara adil dan bebas daripada unsur luar yang berniat jahat.
Tegas beliau, PKR bukan alat kepada mana-mana pihak luar dan ahli-ahlinya akan terus mempertahankan parti itu daripada sebarang bentuk pencerobohan politik. – MalaysiaGazette