MELAKA – Seorang bekas pembantu operasi sebuah kolej mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15,000 tiga tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Rizuan Muhamad, 42, membuat pengakuan itu sejurus tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Tindakannya itu adalah sebagai upah memperakui perakuan siap kerja pembaikan tingkap asrama di Kolej Matrikulasi Melaka.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam Pembantu Operasi N11 yang memangku tugas sebagai Pembantu Kemahiran H19 di kolej itu telah meminta suapan berjumlah RM10,000 daripada seorang lelaki berusia 43 tahun.
Ia adalah sebagai dorongan memperakui perakuan siap kerja bagi kerja pembaikan jenang dan tingkap di kolej berkenaan yang bernilai RM484,580.
Tertuduh turut berdepan dua pertuduhan menerima suapan RM2,000 dan RM3,000 sebagai upah memperakui perakuan siap kerja berkenaan daripada individu sama.
Semua kesalahan itu dilakukan di sekitar kawasan Kampung Padang, Pokok Mangga dalam daerah Melaka Tengah pada 14 dan 15 Ogos 2022 serta 28 September 2022.
Kesalahan itu memperuntukan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sherina Farhana Nor Sa’ari memohon tertuduh dikenakan jaminan RM18,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Melaka sebulan sekali.
Peguam Mohd. Nazri Abd. Hamid yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya kini bekerja di sebuah sekolah rendah dengan pendapatan RM2,800 sebulan serta perlu menanggung isteri dan ibu yang uzur.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamian serta membenarkan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.
Kes akan disebut semula 30 Mei ini. – MalaysiaGazette