KUALA LUMPUR – Bidaan untuk bangunan terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) di bawah Pakej 3 dijangka dibuka pada Mei 2025, menjelang tempoh siap yang dijadualkan pada 2027.
CIMB Securities Sdn Bhd melalui satu nota hari ini berkata, anggaran kontrak untuk Pakej 3 ini mungkin bernilai sehingga RM1.2 bilion, ia merupakan pakej terbesar setakat ini.
Tender tersebut merangkumi pembinaan terminal baharu serta pengubahsuaian bangunan terminal sedia ada termasuk kerja-kerja infrastruktur, perkhidmatan bangunan dan menambah baik reka bentuk dalaman.
“Kami tidak akan terkejut jika Gamuda Bhd menjadi pesaing untuk Pakej 3, khususnya kalau margin bidaan tidak terlalu kecil. Ia mempunyai rekod prestasi terbukti dalam kerja-kerja infrastruktur yang berkaitan dengan lapangan terbang khususnya setelah memenangi kontrak RM1.9 bilion untuk membina seksyen penting Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha di bawah konsortium antarabangsa.
“Gamuda juga memiliki kelebihan logistik berbanding saingannya kerana kini ia sedang menebus semula tanah untuk cadangan Pulau Silikon yang terletak di hujung selatan PIA,” katanya.
CIMB Securities berkata pesaing lain termasuk IJM Corp Bhd, Malaysia Resources Corporation Bhd dan Sunway Construction Group Bhd.
“Gamuda, IJM dan MRCB sebelum ini menyatakan minat mereka untuk membida,” tambahnya.
Secara hiliran, kemudahan pengeluaran besi utama Ann Joo Resources Bhd di Seberang Prai boleh meletakkan kumpulan itu dalam kedudukan yang mantap bagi mendapatkan kontrak bekalan keluli, katanya.
Pembesaran PIA sedang berjalan lancar, dengan kerja pembinaan di bawah dua daripada tiga pakej sudah pun berjalan.
Pengembangan ini adalah penting untuk memperkukuhkan status PIA sebagai hab penerbangan serantau yang utama. – BERNAMA