BEIJING – China mengumumkan timbal balas tarif 50% tambahan ke atas semua import Amerika Syarikat (AS) menjadikan jumlah paras tarif kepada 84%.
Langkah itu adalah tindak balas kepada pusingan tarif terkini Presiden Donald Trump, yang berkuat kuasa semalaman, dan termasuk levi 104% ke atas barangan China.
Kementerian kewangan China berkata, caj baharu itu akan berkuat kuasa pada tengah malam di China, atau tengah hari Rabu.
“Amalan AS menaikkan tarif ke atas China adalah satu kesilapan di atas kesilapan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan berhubung pusingan baharu levi.
China menyeru AS untuk membatalkan tarifnya terhadap barangan China, “dan menyelesaikan perselisihan dengan China dengan betul melalui dialog yang sama atas dasar saling menghormati,” tambah kementerian itu. – MalaysiaGazette