KUALA LUMPUR – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) terus memperkukuh pertumbuhan ekonomi Pahang dengan merealisasikan pelaburan bernilai RM1.4 bilion pada suku pertama 2025 (1Q2025), mewakili 25% daripada sasaran pelaburan tahunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebanyak RM5.6 bilion untuk negeri Pahang.
Prestasi ini sekali gus meneguhkan kedudukan Pahang sebagai destinasi pelaburan mampan yang semakin mendapat keyakinan pelabur.
Sektor pembuatan merupakan penyumbang utama pada 1Q2025, merangkumi 53% daripada jumlah pelaburan, diikuti oleh sektor minyak dan gas sebanyak 45%, yang tertumpu pada pembangunan fasiliti bahan kimia.
Sektor perkhidmatan pula menyumbang baki 2% menerusi projek-projek tenaga boleh diperbaharui termasuk loji mini hidro dan biomass, selaras dengan agenda pertumbuhan hijau negara, melengkapi ekosistem pelaburan yang lebih pelbagai dan seimbang.
“Pencapaian ini jelas membuktikan daya tarikan Pahang sebagai destinasi pelaburan yang strategik, terutamanya dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi serta industri minyak dan gas.
“Pelaburan-pelaburan ini turut berjaya menjana lebih 700 peluang pekerjaan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” kata
Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Pahang yang
diadakan hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, ECERDC telah memeterai perjanjian kerjasama dengan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang dan Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) bagi melaksanakan sebuah program berimpak tinggi yang bertujuan meningkatkan pendapatan golongan B40 dan miskin tegar.
Kerjasama ini melibatkan pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat – Program Usahawan Tani (IPR-INTAN) di daerah Jerantut dan Lipis, yang akan memperluas pengurusan pertanian moden di kawasan luar bandar.
Majlis menandatangani perjanjian ini disaksikan oleh Wan Rosdy.
Projek ini akan dilaksanakan oleh PASFA selaku syarikat induk di atas tanah milik kerajaan negeri, meliputi kawasan seluas 18.35 ekar di Jerantut dan 17.36 ekar di Lipis.
Penanaman cili bagi projek ini akan menggunakan sistem fertigasi pintar, yang akan dijalankan di kedua-dua lokasi dengan penglibatan seramai 30 peserta di setiap lokasi.
Inisiatif ini dijadualkan bermula pada bulan Mei 2025 dan dijangka mampu menjana pendapatan bulanan sekitar RM2,000 bagi setiap peserta.
“IPR-INTAN merupakan satu inisiatif penting yang sejajar dengan usaha Kementerian Ekonomi dan ECERDC dalam memperkukuh keterjaminan makanan serta memajukan sektor pertanian mampan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat.
Di bawah pelaksanaan IPR-INTAN di negeri Pahang, ECERDC juga akan menerajui pelaksanaan projek pertanian berskala besar yang merangkumi tujuh daerah, iaitu Jerantut, Lipis, Temerloh, Bentong, Pekan, Bera dan Raub melibatkan kawasan hampir 1,000 ekar tanah dan penyertaan kira-kira 1,000 orang peserta, yang akan dilaksanakan secara berfasa menjelang akhir tahun 2025. – MalaysiaGazette