KUANTAN – Seorang guru wanita maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori di kilometer 104 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran bandar Muadzam Shah, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 2.30 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Bezza dipandu guru berusia 26 tahun itu dari arah Segamat menghala ke Muadzam Shah.
“Ketika sampai di tempat kejadian, kereta itu telah masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori jenis Scania yang membawa muatan biji sawit,” katanya dalam kenyataan petang ini.
Akibat kemalangan itu, mangsa, Maryam Nabilah Muzammil disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.
Tambah Sharif, bagaimanapun pemandu lori terbabit tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, anggota bomba terpaksa mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat. – MalaysiaGazette