Menara Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR — Hydroshoppe Sdn. Bhd. akan terus menguruskan operasi Menara Kuala Lumpur (KL Tower) buat masa ini walaupun salah satu permohonan mereka untuk penerimaan telah ditolak oleh mahkamah.

Pengarah urusannya, Datuk Abdul Hamid Shaikh menjelaskan masih terdapat satu lagi permohonan penerimaan yang akan didengar pada 9 Jun 2025.

Selagi tiada arahan lanjut daripada pihak mahkamah, pengurusan KL Tower kekal seperti sedia kala.

“Mahkamah sudah menghapuskan satu permohonan untuk menerima penerimaan. Tapi ada satu lagi permohonan yang akan dibicarakan pada 9 Jun 2025.

“Kami tidak menerima apa-apa arahan daripada mahkamah untuk menghentikan operasi atau memindahkannya ke mana-mana pihak,” katanya dlaam sidang media di Menara KL, hari ini.

Mengulas mengenai laporan polis yang dibuat terhadap Hydroshoppe oleh LSH Service Master Sdn Bhd, beliau menegaskan, perkara tersebut kini berada di bawah bidang kuasa mahkamah.

“Sebaik-baiknya, semua pihak termasuk pihak berkuasa perlu menunggu keputusan mahkamah dan buat masa sekarang, ia adalah status quo.

“Kami akan terus menguruskan KL Tower sehingga mendapat keputusan rasmi,” tambahnya.

Sebelum ini, Hydroshoppe dan anak syarikatnya, MKLSB, memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia, Kementerian Komunikasi, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, serta syarikat berkaitan LSH Capital, berhubung penamatan konsesi pengurusan KL Tower yang diberikan kepada LSH Service Master (LSHSM).

Hydroshoppe mendakwa, proses penyerahan tersebut dilakukan secara tidak sah dan menuntut pampasan dianggarkan bernilai RM1 bilion, selain pemulangan semula konsesi kepada mereka.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur  telah menolak permohonan injunksi ad interim Hydroshoppe bagi menghentikan penyerahan tersebut, 8 April lalu.

Namun begitu, satu lagi permohonan injunksi interim masih belum diputuskan dan dijadualkan untuk perbicaraan pada 9 Jun 2025.

Sementara itu, LSH Service Master memaklumkan, mereka telah membuat laporan polis pada 1 April 2025 selepas gagal mengambil alih operasi KL Tower seperti yang dijadualkan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya menyatakan kelewatan tersebut menyebabkan kerugian kewangan harian kepada syarikat mereka.

LSH Capital dalam kenyataannya mempertahankan penyerahan konsesi dibuat melalui proses permintaan cadangan (RFP) secara terbuka dan telus pada Februari 2024, dan mereka tidak terlibat dalam sebarang perjanjian terdahulu antara Hydroshoppe dan kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here